Selasa, 27 Ogos 2019 | 2:24pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kiri) menyampaikan ijazah kepada graduan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

Guru kaunseling digesa lebih peka kesan pelajar murung

SHAH ALAM: Guru kaunseling sekolah perlu lebih peka mengenal pasti pelajar yang berdepan masalah kemurungan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata guru berkenaan juga perlu bersikap proaktif dengan mendekati pelajar, bukan hanya menunggu pelajar datang mengadu masalah kepada mereka.

“Semua guru (bukan guru kaunseling) yang menyedari mana-mana pelajar ada masalah atau ada ciri-ciri kemurungan juga perlu segera merujuk pelajar ini kepada guru kaunseling.

“Kita bukan katakan bahawa guru kaunseling hanya duduk di pejabat, tetapi kita harapkan mereka lebih proaktif dengan mendekati pelajar dan tidak menunggu pelajar datang mengetuk pintu pejabat mereka.

“Selain itu, kita nasihatkan pelajar (yang ada masalah) untuk merujuk kepada guru kaunseling untuk berkongsi sebarang masalah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini, hari ini.

Sementara itu, Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan penuh berhubung kematian seorang pelajar di Pulau Pinang yang dilaporkan menggantung diri akibat tertekan dengan lambakan kerja sekolah.

“Untuk kes ini, kita masih tunggu siasatan pihak polis, jadi apa-apa tindakan akan diambil selepas kita mendapat laporan polis,” katanya.

Sabtu lalu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan menggantung diri di bilik air rumahnya di Taman Seri Relau, Paya Terubong, Georgetown.

Berdasarkan nota yang ditinggalkan, mangsa dilapor bertindak sedemikian akibat tertekan dengan kerja sekolah yang banyak.

Berita Harian X