Selasa, 27 Ogos 2019 | 5:19pm
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun. -NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tiada rayuan atas keputusan petisyen Parlimen Kimanis - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata SPR sudah menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu Sabah pada 23 Ogos lalu yang mengisytiharkan keputusan bagi kerusi Parlimen P176 Kimanis pada PRU-14 lalu sebagai batal dan tidak sah.

“SPR mengambil maklum dan akur kepada keputusan itu. Oleh itu, SPR tidak akan membuat rayuan terhadapnya.

“Bagaimanapun, jika rayuan dibuat Anifah, penyandang kerusi bagi Parlimen berkenaan dan dinamakan sebagai responden, SPR akan menghadiri prosiding itu dan mengambil bahagian di dalamnya setakat yang perlu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh untuk merayu tamat, iaitu pada 29 Ogos ini, bagi tindakan selanjutnya.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil jika perlu diadakan,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan berikutan petisyen dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Pada PRU-14, Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Anifah memperoleh 11,942 undi pada pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Harapan Rakyat, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Berita Harian X