Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:31pm
MASZLEE Malik (tengah) bersalaman dengan pelajar sekolah selepas Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan (PPIPK) dan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru (PBI) 2019 di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

RM2 bilion untuk laksanakan program sarapan percuma

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka perlu membelanjakan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun, bergantung kepada menu sajian Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan dilaksanakan mulai Januari depan.

Bagaimanapun, pakar ekonomi berpendapat Kementerian Pendidikan (KPM) akan mampu menampung kos berkenaan dengan menggunakan perolehan daripada cukai minuman bergula.

Bagi Prof Dr Bajoyai Bardai, pendapatan yang dijangka diperoleh kerajaan menerusi cukai minuman bergula adalah sekitar RM2 bilion setahun.

“Sekiranya harga sajian adalah RM4 sehari bagi setiap murid, kos yang akan ditanggung kementerian ialah RM2.3 bilion. Jika harga menu ialah RM3, kementerian akan menanggung kos sekitar RM1.7 bilion setahun.

“Berdasarkan perkiraan ini, kementerian diyakini mampu untuk menanggung kos PSP apabila ia dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada BH, hari ini.

Perkiraan itu dibuat berdasarkan jumlah pelajar terbabit (2.7 juta orang) didarab dengan harga menu dan jumlah hari persekolahan sekitar 214 hari setahun.

Hari ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementeriannya masih meneliti kos bersesuaian bagi pelaksanaan PSP.

Barjoyai menjelaskan anggaran kos yang beliau andaikan adalah berdasarkan menu sarapan iaitu jika harga menu adalah RM4, ia merangkumi harga makanan, minuman disertakan buah-buahan manakala menu bernilai RM3 pula tanpa hidangan buah-buahan.

Beliau berkata, sekiranya kementerian kekurangan peruntukan untuk melaksanakan PSP, mereka boleh mendapatkan sumber daripada hasil kutipan cukai yang lain.

Katanya, pelaksanaan PSP ini harus dipandang daripada sudut positif iaitu untuk memastikan murid mendapat makanan dengan nutrisi yang sihat serta bertenaga ketika belajar.

“Program ini juga diharap dapat mengurangkan sikap perkauman apabila murid makan bersama secara serentak.

“Dilihat lebih jauh, PSP membantu mewujudkan usahawan yang berpengetahuan dalam penyediaan menu dengan nutrisi makanan sihat dan seimbang,” katanya.

Berita Harian X