X
Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:58pm
Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

PPO nasihat kemuka kembali kertas siasatan SRC kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak dipulangkan semula oleh Jabatan Peguam Negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa kali sejak siasatan bermula 2015.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, berkata siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram berkaitan Najib dijalankan sejak laporan dibuat oleh pegawai SPRM pada 3 Julai 2015.

“Kemudian sepanjang Julai 2015, saya bertindak membuat rakaman percakapan penerima cek daripada akaun peribadi Najib,” katanya yang menambah kertas siasatan kes itu kemudiannya dikemukakan kepada Peguam Negara.

Saksi itu berkata, selepas kertas siasatan itu diputuskan ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) pada 26 Januari 2016, beliau memberikan taklimat kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM yang ketika itu dipengerusikan Datuk Wira Hamid Bugo, dengan tujuan untuk meneliti semula kertas siasatan yang ditandakan sebagai NFA.

"Beliau menasihati saya untuk mengemukakan kembali kertas siasatan untuk disemak semula oleh Tan Sri Mohamed Apandi (Peguam Negara ketika itu) kerana pihaknya yakin ada keterangan yang menunjukkan berlakunya kesalahan atas akta yang disyorkan.

"Susulan itu, pada hujung Mac 2016, SPRM mengemukakan semula kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk dikaji semula," katanya.

Rosli berkata pihaknya menerima arahan untuk menyiasat lanjut kes itu pada 22 September 2016, selepas Mohamed Apandi memutuskan NFA pada kertas siasatan sama pada 26 Januari 2016.

Rosli berkata beliau menerima semula kertas siasatan itu dengan arahan untuk membuat siasatan lanjut sebelum diarahkan untuk mengambil tindakan mengenai kes sama pada 7 Julai 2017.

“Pada 12 Jun 2018, saya mengemukakan kembali kertas siasatan kepada Peguam Negara (Apandi) dengan syor untuk menuduh tertuduh seperti mana pertuduhan hari ini,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak hadir pada hari akhir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Datuk Seri Najib Razak hadir pada hari akhir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Rosli menegaskan bahawa hanya Najib mempunyai kepentingan dalam kes membabitkan dana SRC.

Rosli berkata Najib yang ketika itu memegang portfolio Menteri Kewangan adalah individu yang berkuasa melantik jawatan penting dalam SRC International seperti Ahli Lembaga Pengarah, setiausaha dan juruaudit syarikat.

“Selain itu, beliau juga mempunyai kuasa untuk menentukan pelaburan syarikat,” katanya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, adalah individu yang menyeleweng dana SRC berjumlah RM170 juta, Rosli menjawab: “Ya.”

Suhaimi: Ketika pembelaan mencadangkan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) menyelewang wang SRC, kamu menjawab “Kalau Nik Faisal, ya.” Boleh terangkan mengapa?

Rosli: Saya menjawab “Kalau Nik Faisal, ya” kerana dia yang membuat pindahan wang RM170 juta dari akaun SRC ke akaun syarikat pembinaan, Putra Perdana Construction Sdn Bhd tanpa mendapatkan persetujuan daripada ahli lembaga pengarah SRC.

Berita Harian X