Rabu, 28 Ogos 2019 | 12:58pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun (kanan) melepaskan Konvoi Merdeka KEMAS Wilayah Persekutuan 2019 di Kompleks Komuniti Wanita Desa Pandan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Banyak kawasan luar bandar perlu dimajukan - Rina

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, kawasan luar bandar di negara ini masih banyak perlu dibangunkan meskipun Malaysia sudah mencapai 62 tahun kemerdekaan.

Beliau berkata, Malaysia bukan saja perlu meningkatkan tahap infrastruktur, malah modal insan dan ekonomi dalam kalangan penduduk luar bandar juga perlu dikembangkan.

“Kita tidak boleh menafikan pembangunan berlaku di luar bandar sejak negara mencapai kemerdekaan, tetapi masih banyak perkara boleh dilaksanakan.

“Kerajaan bukan saja perlu menekankan aspek infrastruktur, malah ia turut membabitkan modal insan, ekonomi dan keusahawanan. Golongan wanita juga perlu diberi lebih perhatian pada masa kini,” katanya selepas hadir melancarkan Konvoi Merdeka KEMAS Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun bermesra bersama pelajar-pelajar Tabika KEMAS Desa Pandan Kuarters kakitangan Kerajaan Awam (KKKA), Jalan U Thant selepas majlis pelepasan Konvoi Merdeka KEMAS Wilayah Persekutuan 2019 di Kompleks Komuniti Wanita Desa Pandan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Konvoi Merdeka KEMAS itu bermula di Desa Pandan sebelum bergerak ke kawasan Parlimen Kepong dan berakhir di Parlimen Batu yang turut disertai pelajar tadika KEMAS.

Rina berkata, pelbagai perkara sudah dilaksanakan menerusi Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar setakat ini, khusus untuk memacu kemajuan dan kehidupan masyarakat luar bandar.

“Sejumlah 10 teras yang menjadi dasar pelan ini seperti modal insan dan keusahawanan sedang berjalan secara berperingkat melalui pelan strategik sedia ada,” katanya.

Sementara itu, mengulas harapannya menjelang kemerdekaan negara tidak lama lagi, Rina berkata, tumpuan seharusnya diberi kepada golongan muda termasuk kanak-kanak yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan sekarang.

“Masa depan mereka terletak di tangan kita dan dasar kerja yang dilaksanakan kerajaan kini bagi mewariskan Malaysia kepada mereka,” katanya.

Rina berkata, semua masyarakat juga perlu menghayati kemerdekaan negara dengan mengibarkan bendera walaupun kebanyakannya tidak lahir dalam era perjuangan kemerdekaan.

Berita Harian X