Rabu, 28 Ogos 2019 | 3:40pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tiga dari kiri) bersama Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim (tiga dari kanan) melawat tapak insiden kebakaran membabitkan bangunan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM. - NSTP/Aswadi Alias

Kos PSP diputuskan selepas perbincangan

KUALA LUMPUR: Kos bagi pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) yang bakal dilaksanakan bermula tahun depan akan diputuskan selepas selesai perbincangan dengan pihak terbabit.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata setakat ini, maklumat terperinci mengenainya masih belum diperoleh.

“Perkara itu (kos PSP) dibincangkan dengan pihak terbabit, selepas itu baru kita boleh buat keputusan,” katanya hari ini selepas melawat pejabat pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang mengalami kebakaran, awal pagi semalam.

Semalam, pakar ekonomi, Prof Dr Bajoyai Bardai, berkata Kementerian Pendidikan dijangka perlu membelanjakan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun bagi melaksanakan PSP bergantung kepada menu ditetapkan.

Katanya, kerajaan diyakini mampu menampung kos berkenaan menerusi perolehan daripada cukai minuman bergula.

Maszlee melalui hantaran status dalam akaun Facebook (FB) mengenai soalan lazim (FAQ) berkaitan PSP kelmarin, berkata kementeriannya masih meneliti kos bagi pelaksanaan PSP.

Selain itu, katanya, menu PSP yang sesuai juga sedang dikaji dengan mendapatkan pandangan pakar pemakanan daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pakar pemakanan beberapa universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan disediakan.

Sebelum ini, Maszlee mengumumkan seramai kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Berita Harian X