Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:09pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Kerajaan ada peruntukan laksana Program Sarapan Percuma - PM

HANOI: Kerajaan ada peruntukan untuk melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) mulai tahun depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh menggunakan peruntukan untuk program berkenaan daripada wang yang diperoleh daripada pelbagai agensi, misalnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Biasanya walaupun ada kementerian yang kutip duit banyak, tak bermakna ia (peruntukan) diberi kepada kementerian itu sahaja, kalau macam itu kastam (JKDM) kaya,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sumber kewangan untuk program berkenaan, termasuk kemungkinan daripada cukai gula, Dr Mahathir berkata, ia sedang diperhalusi.

“Semua cukai dikutip, masuk (dalam) satu dana dan diagih kepada pelbagai kementerian, kalau ada keperluan dan peruntukan tambahan, kita akan pertimbangkan, kalau mampu kita bagi,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan kini berdepan kesukaran untuk melaksanakan pelbagai program disebabkan kekangan belanjawan akibat tindakan kerajaan dahulu yang meninggalkan hutang terlalu banyak.

Ditanya apakah menu yang sesuai untuk sarapan murid apabila ia dilaksanakan kelak, Perdana Menteri berkata, banyak menu sihat boleh difikirkan oleh pihak kementerian berkenaan.


Kerajaan ada peruntukan untuk melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) mulai tahun depan. - Foto hiasan

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Beliau berkata, langkah itu dibuat kerana di sebalik pemberian makanan percuma itu, berlaku perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, menerusi hantaran status dalam akaun Facebook mengenai soalan lazim (FAQ) berkaitan PSP yang turut dirangkaikan dalam akaun Twitter beliau semalam, Maszlee berkata, kementerian masih meneliti kos bersesuaian bagi pelaksanaan PSP.

Maszlee dilaporkan berkata, menu PSP yang sesuai juga sedang dikaji dengan mendapatkan pandangan pakar pemakanan daripada beberapa kementerian berkaitan dan universiti.

Satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi membincang secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan, termasuk penggunaan dana daripada cukai gula.

Berita Harian X