Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:31pm
Kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai yang mengorbankan 11 pekerja pada 21 Oktober lalu. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

JKKP, antara pihak bertanggungjawab dalam tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah

GEORGETOWN: Empat pihak termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bertanggungjawab terhadap tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, yang mengorbankan 11 pekerja kira-kira dua tahun lalu.

Tiga pihak lagi ialah jurutera perunding, Khoo Koon Tai dari syarikat perunding projek itu, Perunding KAA Sdn Bhd; jurutera perunding, Victor Ong dari syarikat perunding One Smart Engineering Sdn Bhd dan kontraktor, Choongcons (Penang) Sdn Bhd.

Dapatan itu terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Berhubung Insiden di Tapak Binaan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang diedarkan kepada media hari ini.

Laporan setebal 116 muka surat itu ditandatangani Pengerusinya, Datuk Yeo Yang Poh.

Menurut laporan itu, Koon Tai dikenal pasti sebagai pihak pertama bertanggungjawab terhadap tragedi itu kerana gagal mengambil langkah awal mencegah tanah daripada runtuh walaupun menyedari cerun tidak stabil.

“Tiga lagi pihak yang bertanggungjawab adalah Victor Ong, Choongcons (Penang) Sdn Bhd dan JKKP kerana gagal untuk segera mengeluarkan notis larangan selepas lawatannya (JKKP) ke tapak (projek) pada 18 Ogos 2017,” kata laporan berkenaan.

Suruhanjaya itu menyifatkan tragedi berkenaan sebagai ‘buatan manusia’ yang boleh dielakkan jika langkah keselamatan sebenar dilakukan.

“Kejadian ini satu bencana yang hanya menunggu masa untuk berlaku dengan amaran sudah diberikan oleh alam semula jadi. Malangnya amaran itu tidak diendahkan, sama ada disengajakan ataupun tidak,” kata laporan itu.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan mengesyorkan siasatan jenayah oleh polis dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan terhadap pihak bertanggungjawab terbabit kerana mengabaikan aspek keselamatan terhadap pekerja.

Selain itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut digesa menguatkuasa dasar bahawa tiada sebarang projek pembangunan boleh diluluskan sehingga jurutera tetap sesuatu projek dilantik untuk melakukan pemantauan.

“MBPP juga perlu sentiasa mengadakan pemeriksaan dan lawatan mengejut ke tapak pembinaan dari masa ke semasa bagi memastikan kejadian tidak diingini seperti ini dapat dielakkan,” katanya.

Mengulas laporan berkenaan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata proses pendengaran suruhanjaya siasatan berkenaan dilakukan dalam tempoh 26 hari dengan menampilkan seramai 28 saksi, termasuk enam pakar kejuruteraan binaan.

Laporan siasatan itu juga sudah diserahkan kepada Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 22 Julai lalu untuk perhatian beliau.

“Laporan ini dijual kepada awam pada harga RM50 senaskhah, dan boleh dibeli di Tingkat 3 Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bermula 3 September sehingga 30 September ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.57 pagi pada 21 Oktober 2017, seramai 11 pekerja pembinaan maut dalam tragedi runtuhan tanah.

Mereka ialah lima warga Bangladesh iaitu Abdullah Al Mamum, Alam Md Nur, Hossen Mia, Mohammad Monirul Islam dan Rahaman Abdur; dua warga Indonesia iaitu Erwin dan Hosrin; dua warga Myanmar iaitu Rahmatullah Mohd Sidiq dan Yunus Nazir Huson serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Malaysia, iaitu Ali Raza Muhammad Jamil dan Yuan Kuok Wern.

Berita Harian X