Rabu, 28 Ogos 2019 | 7:13pm
FELDA mengumumkan pelantikan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya yang baharu. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Ketua peneroka dilantik Ahli Lembaga Pengarah FELDA

KUALA LUMPUR: FELDA mengumumkan pelantikan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya yang baharu.

Agensi itu memaklumkan pelantikan berkenaan dibuat selepas mendapat persetujuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Pelantikan itu berkuat kuasa pada 20 Ogos 2019,” kata FELDA dalam kenyataan itu hari ini.

Sulong adalah Ketua Peneroka Wilayah Trolak dan Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) sejak 2011.

Beliau mula menyertai tanah rancangan FELDA Sungai Behrang pada 1982 dan sejak itu terbabit secara aktif dalam pelbagai aktiviti kepimpinan di peringkat rancangan dan wilayah.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Sulong dipetik sebagai berkata, beliau komited untuk menjadi penghubung berkesan antara FELDA dengan peneroka dalam mendapatkan pandangan dan sokongan mereka bagi inisiatif agensi berkenaan.

“Antara aspirasi adalah untuk memastikan kelancaran program pembangunan peneroka serta pengurusan lestari kebun peneroka supaya pendapatan dapat ditingkatkan dan mampu memberi manfaat optimum kepada semua warga peneroka,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, menyifatkan pelantikan Sulong sebagai satu pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara pengurusan dengan kepimpinan peneroka serta menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan dasar membabitkan peneroka.

“Pelantikan ini menjadikan barisan Ahli Lembaga Pengarah FELDA kembali dianggotai oleh wakil peneroka selaras dengan aspirasi untuk memperkasa suara peneroka dalam pentadbiran dan penggubalan dasar FELDA,” katanya.

Berita Harian X