Khamis, 29 Ogos 2019 | 1:03pm
Datuk Mohammad Nor Khalid (kiri), yang lebih dikenali sebagai Lat dan Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia Andrew Woon menunjukkan tanda bagus di hadapan tiga lukisan yang dilukis Lat menggambarkan suasana perayaan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali ketika ditemui pada acara sambutan ‘Grip X Celebrates The Diversity of Malaysia with Lat' di Balai Seni Negara awal bulan ini. Ketiga-tiga lukisan itu dilukis menggunakan pena mata bola Grip X keluaran Faber-Castell Malaysia. - Foto BERNAMA

Bila saya melukis, saya lukis semua orang - Lat

KUALA LUMPUR: Nama Lat sinonim dengan dunia kartun negara ini dan beliau juga ikon keharmonian kaum di Malaysia kerana banyak menghasilkan lukisan bertemakan cara hidup masyarakat tempatan.

Lat atau nama penuhnya, Datuk Mohammad Nor Khalid lahir enam tahun sebelum merdeka. Sepanjang kehidupannya, sejak zaman kanak-kanak lagi, beliau melihat sendiri bagaimana membangunnya sebuah negara merdeka bermula dari sudut pandang orang kampung.

Mula melukis secara serius sejak di bangku sekolah, Lat melukis siri kartun ‘Keluarga Si Mamat’ ketika di Tingkatan Empat yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian.

Dalam masa yang sama, beliau menyumbang kartun lukisannya kepada akhbar Berita Minggu, majalah Pemimpin dan Dewan Pelajar.

Unsur ‘Malaysiana’ menjadi tunjang kepada setiap kartun lukisan Lat. Daripada keadaan masyarakat kampung berbilang kaum sehinggalah kepada kehidupan kota dengan ragam manusia yang pelbagai semuanya diabadikan dalam bentuk lukisan.

Tidak hairanlah sekiranya karya beliau tetap menjadi kegemaran rakyat Malaysia sekalipun sudah bersara daripada bidang kartun sejak beberapa tahun lalu. Watak ciptaan beliau seperti Mat, Puan Hew, Opah, Ana, Yap dan Yah masih dapat dilihat pada poster, terutamanya bila tiba tahun baharu dan musim perayaan.

Bagi Lat, penting untuk beliau memasukkan elemen kepelbagaian kaum di Malaysia dalam karyanya. Ia satu cara mendidik masyarakat secara santai tentang keindahan di sebalik perbezaan kaum dan agama.

“Apabila saya melukis, saya lukis semua orang. Semua orang bermaksud semua kaum di Malaysia. Semua rakyat Malaysia dan semua peringkat umur daripada kanak-kanak sehinggalah kepada warga emas kerana mereka membaca surat khabar. Ketika itu surat khabar di mercu kegemilangan,” katanya.

Sewaktu berucap di Balai Seni Negara awal bulan ini, Lat menceritakan kisah dirinya apabila akhbar The Straits Times memberinya kebebasan untuk melukis apa sahaja bahan berasaskan budaya Malaysia.

Beliau diberi ruang enam kotak selepas pihak akhbar itu melihat kebolehannya melukis untuk majalah Asia Magazine.

Untuk makluman, ruang enam kotak itu sebenarnya satu ruang yang besar untuk diisi setiap hari.

Lat perlu mencari idea dan menyiapkan lukisan sebelum jam tujuh petang setiap hari untuk dihantar kepada penyunting, agar dapat dicetak untuk akhbar pada hari berikutnya.


Datuk Mohammad Nor Khalid (tiga, kiri) yang lebih dikenali sebagai Lat dan Pengarah Urusan Faber-Castell Malaysia Andrew Woon (tiga, kanan) bergambar dengan pemenang pertandingan lukisan bertemakan Hari Kebangsaan anjuran Faber-Castell Malaysia ketika acara sambutan ‘Grip X Celebrates The Diversity of Malaysia with Lat' di Balai Seni Negara awal bulan ini. - Foto BERNAMA

“Ada kalanya jarum jam sudah menunjukkan pukul enam petang tapi saya masih belum ada idea untuk melukis. Saya bukan ada di pejabat pun. Saya ada dalam kereta, di Bangsar Lucky Garden. Ada nanti editor yang tunggu lukisan saya. Keadaan ini banyak kali berlaku tetapi saya tak panik, ” katanya.

Walaupun kedengaran seperti satu tugas yang susah, bagi Lat beliau tidak pernah kekeringan idea kerana ada banyak bahan berkaitan kaum, agama dan budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia yang boleh diabadikan dalam karya beliau.

“Kerana kita daripada pelbagai latar belakang, daripada suku-sakat yang berbeza, kaum yang berbeza, sebenarnya semua ini memang menarik. Lagi kita memahami antara satu sama lain, bertambahlah lagi kita nak tahu tentang mereka. Semua kerja saya di The New Straits Times bertumpu kepada soal memahami keadaan masyarakat seperti itu, ” katanya.

Lat berpandangan seseorang itu perlu menunjukkan minat terhadap seseorang dan mengetahui latar belakangnya jika mahu orang itu melakukan yang sama. Tidak boleh satu pihak sahaja mempromosi kebudayaan mereka, sebaliknya pihak itu juga mesti belajar kebudayaan orang lain.

Beliau juga menegaskan proses mempelajari silang budaya perlu bermula dari usia muda.

“Bila anda sedar perbezaan antara kaum di negara ini sesuatu yang menarik? Masa usia belasan tahun. Masa itulah kita jadi tertarik dengan orang lain kerana wujud perbezaan antara kita. Masa itu juga untuk kita mula beramah mesra dan saling kenal mengenali. Buku saya Kampong Boy mengenai masyarakat Melayu di sebuah kampung kecil tetapi untuk buku saya yang berikutnya Town Boy, ia tentang Ipoh dan memaparkan kehidupan masyarakat bandar, ” katanya.

Beliau kemudiannya berkongsi kisah ketika kali pertama melukis kartun tentang budaya perkahwinan masyarakat Sikh pada 1974. Bermula dengan rasa ingin tahu apabila melihat gambar perkahwinan pemilik kedai makan yang dikunjungi, Lat memberanikan diri bertanya di mana boleh beliau lihat sendiri upacara perkahwinan masyarakat itu, agar beliau boleh membuat kartun tentangnya.

Walaupun pada peringkat awal permintaan beliau ditolak kerana risau Lat akan melukis sesuatu yang tidak disenangi, Lat tidak putus asa untuk memberi penjelasan tentang kerjaya beliau melukis sesuatu, agar dapat difahami dengan senang oleh pelbagai bangsa.

Pada waktu itu karya dan nama beliau baru mula dikenali dan masih ada yang belum biasa dengan jenis kartun yang dilukisnya.

Akhirnya selepas bersusah-payah memberi penjelasan, pemilik kedai bersetuju memberitahu tentang upacara perkahwinan yang bakal berlangsung pada hujung minggu di Gurdwara Sahib Kampung Pandan.

“Memang tepat keputusan saya untuk melukis upacara perkahwinan itu kerana saya menghasikan banyak siri mengenainya dan orang pun suka. Ramai yang menelefon editor dan memuji lukisan saya dan mereka mahu lebih banyak lagi lukisan seperti itu,” katanya. – BERNAMA


Peminat Datuk Mohammad Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Lat tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan beliau pada buku dan barang-barang cenderahati bertemakan kartun 'Budak Kampung' (Kampung Boy) ketika acara sambutan ‘Grip X Celebrates The Diversity of Malaysia with Lat di Balai Seni Negara awal bulan ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X