Khamis, 29 Ogos 2019 | 6:08pm

Datang awal 4 jam, daftar masuk dalam talian - MAHB

KUALA LUMPUR: Penumpang yang bakal menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dinasihatkan mendaftar masuk secara dalam talian serta tiba di terminal empat jam lebih awal sebelum waktu berlepas.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjelaskan peringatan itu susulan cuti panjang minggu ini sempena Hari Kemerdekaan dan Awal Muharam yang dijangka menyumbang kepada kesesakan aliran trafik penumpang di kedua-dua lapangan terbang.

Walaupun dijangka purata harian 160,000 penumpang di KLIA, katanya, MAHB komited untuk menempatkan 1,000 kakitangan bagi membantu meningkatkan aspek pengurusan dan menjamin keselesaan pengguna.

“Penumpang turut dinasihatkan mengambil maklum mengenai penutupan ruang udara di sekitar KLIA antara jam 9 pagi hingga 10,30 pagi dari 27 hingga 31 Ogos bagi memberi laluan kepada sesi latihan sempena Hari Kemerdekaan.

“Sebanyak kira 85 penerbangan dijangka terjejas berikutan arahan penutupan ruang udara berkenaan. Justeru, penumpang wajar menyemak semula perubahan jadual dengan syarikat penerbangan masing-masing,” katanya melalui khidmat panduan perjalanan di laman web rasmi MAHB hari ini.

MAHB memaklumkan kakitangan sokongan yang ditempatkan di kedua-dua terminal, termasuk KLIA2 sudah dimaklumkan mengenai perkara itu bagi memastikan trafik, kekosongan parkir kenderaan, kebersihan tandas dan operasi Aerotrain sentiasa diuruskan dengan baik.

“MAHB turut mengingatkan supaya pemandu kenderaan persendirian sentiasa mematuhi had dua minit yang ditetapkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang di sepanjang laluan balai berkaitan.

“Pengurusan trafik di balai ketibaan dan pelepasan akan mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain membantu mengekang sebarang tindakan meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, penumpang yang tiba di terminal boleh mencari `Duta Airport CARE’ atau kakitangan lain di lapangan terbang bagi mendapatkan sebarang bantuan, malah pegawai sistem sokongan ini mudah dikenal pasti kerana mereka menyarung jaket berwarna kuning terang dan tertera perkataan ‘Ask Me’.

Berita Harian X