Sabtu, 31 Ogos 2019 | 10:10am
Mohd Izan Azuan Ahmad (belakang tiga, kiri) bersama Ariani Pariman (belakang tiga, kanan) hadir bersama anak-anaknya dengan berpakaian bercorak Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

Pupuk semangat patriotik melalui pakaian

PUTRAJAYA: Mengenakan pakaian bercorak Jalur Gemilang kepada empat anaknya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 adalah cara seorang bapa, Mohd Izan Ahmad, 35, memupuk semangat patriotik dan rasa cinta pada negara.

Mohd Izan berkata, turut bersama memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang ialah dua anak saudaranya.

Beliau mahu anak-anaknya berbangga menjadi rakyat Malaysia apabila memakai pakaian berkenaan ketika menyambut Hari Kebangsaan.

“Ini bukan kali pertama mereka pakai baju seumpama ini ketika sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya masuk tahun kelima. Tiga kali kami menyambut di Dataran Merdeka dan dua kali di Putrajaya.

“Saya mahu tanamkan sifat patriotik dalam diri mereka, masa saya kanak-kanak tidak dapat semua ini dan bila sudah jadi bapa, saya sediakan untuk mereka,” katanya ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Mohd Izan berkata, baju berkenaan dijahit oleh isterinya, Ariani Pariman, 47, sejak awal Ogos lalu.

Ariani yang juga seorang tukang jahit, tidak mempunyai masalah menyediakan baju berkenaan.

“Semua baju ini saya jahit sendiri menggunakan hampir 50 meter kain. Dari segi reka bentuk, anak-anak yang buat carian di internet.

“Saya hanya menyediakan kain dan jahit apa yang diminta mereka. Untuk enam pasang pakaian termasuk dua anak saudara, saya habiskan kira-kira RM400,” katanya yang menetap di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Keluarga berkenaan tiba di Dataran Putrajaya seawal jam 4 pagi tadi kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Berita Harian X