Sabtu, 31 Ogos 2019 | 5:55pm
Perenang autism, Nur Dhia Izz Ashfadina antara 10 perenang cilik yang menyertai program Renangan Kemerdekaan Merentasi Selat Dinding anjuran pangkalan TLDM Lumut dengan kerjasama Akademi Renang Nayli Saffiya dan Wan Swimming Club. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Perenang cilik autism, disleksia berjaya rentas Selat Dinding

LUMUT: Seramai 10 perenang cilik termasuk yang mengalami masalah autism dan disleksia mencatat rekod apabila berjaya berenang merentasi lautan Selat Dinding sejauh 10 kilometer hari ini.

Mereka berjaya mencatat rekod luar biasa itu melalui program Renang Kemerdekaan Merentasi Selat Dinding yang dianjurkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dengan kerjasama Akademi Renang Nayli Saffiya dan sokongan beberapa syarikat serta organisasi tempatan.

Kejayaan sebahagian daripada perenang itu sekali gus berjaya memecahkan rekod masa dicatat perenang kanak-kanak, Zara Musoumah yang juga pernah berjaya merentasi lautan berkenaan pada tahun 2005.

Pengarah projek, Saidatul Shuhada Shuib, berkata perenang berusia antara sembilan hingga 18 tahun itu berenang dari Jeti Pangkor dan berakhir di Jeti Weldzone di Lumut, di sini.

“Idea tercetus daripada perenang di bawah jagaan saya, Muhammad Hadeef yang berhasrat mahu berenang dari Pulau Pangkor ke Lumut.

“Selepas beberapa sesi latihan dan pertandingan disertai sebelum ini, dari situ kami yakin dia bersama-sama yang lain (termasuk autism dan disleksia) boleh merentasi Selat Dinding,” katanya selepas program renang itu tamat hari ini.

Saidatul Shuhada berkata, melalui program itu, perenang disleksia, Nayli Wafiy Abd Razak, 9, berjaya menjadi kanak-kanak paling muda dalam negara berenang merentasi Selat Dinding, manakala perenang autism, Nur Dhia Izz Ashfadina Muhammad Asrie, 10, menjadi individu autism pertama bagi rekod merentasi selat itu.

Beliau berkata, selain menyemarakkan semangat kemerdekaan, program itu sebagai simbolik mengenang kembali perjuangan Sultan Perak ke-30, Almarhum Sultan Iskandar Shah yang berjaya memerdekakan Selat Dinding daripada penjajah.

“Bagi menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan kemerdekaan kali ini, program ini turut disertai 45 pegawai dan anggota TLDM yang mengiringi perenang cilik ini, sekali gus melakar sejarah tersendiri buat TLDM kerana julung kalinya anggota berenang merentasi Selat Dinding,” katanya.

Saidatul Shuhada yang juga Pengasas Akademi Renang Nayli Saffiy berkata, selain anak istimewa, mereka yang yang menyertai program renang itu membabitkan pelbagai latar belakang termasuk keluarga susah, anak yatim dan keluarga bermasalah.

“Kita bukan hendak menjadikan mereka ini perenang negara, tetapi saya yang juga ibu kepada anak istimewa ini berasa bangga dan seronok melihat perubahan pada anak.

“Banyak manfaat program renang ini termasuk mereka yang mengalami masalah autism dilihat menjadi lebih kurang tantrum dan dos ubat berkurangan, manakala penghidap disleksia pula dapat memberi fokus serta pelajaran meningkat,” katanya.

Beliau berkata, persiapan dibuat sejak awal lagi bagi memastikan semua perenang bersedia mental dan fizikal memandangkan Selat Dinding antara selat yang mencabar berikutan alunan ombak serta angin kencang.

“Sebagai persiapan, setiap Isnin dan Rabu, saya bersama kakitangan berulang dari Kampar ke Lumut untuk berlatih di kolam, manakala Jumaat, Sabtu dan Ahad pula, kami berkampung di TLDM bagi melakukan latihan renang di laut serta kolam dan melakukan percubaan di sekitar lokasi.

“Dari aspek keselamatan pula, bagi aktiviti ini kita memiliki 20 kayak daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL), lima bot jenis ‘inflatabel’ (RIB), empat paramedik, jaket keselamatan, setiap perenang kanak-kanak akan diiring dua PASKAL dan akan dipakaikan pelampung pinggang,” katanya.

Berita Harian X