Ahad, 1 September 2019 | 11:00am

Capai penghijrahan tertinggi dengan memartabatkan kebaikan - Seri Paduka

PUTRAJAYA: Malaysia sudah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan amat menakjubkan sejak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah negara sudah melalui pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi mampan dan kematangan landskap politik.

Seri Paduka bertitah, bagaimanapun pada hemat baginda, masih ada banyak ruang untuk melakukan hijrah bersama-sama.

“Pengukuhan etika dan nilai murni dalam pentadbiran serta pengurusan adalah satu aspek wajar dilaksanakan. Ini kerana pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti tinggi adalah penghijrahan yang tempang.

“Sehubungan itu, saya menyokong usaha meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu maqasid syariah.

“Melalui pendekatan ini, penghijrahan tertinggi boleh dicapai ialah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Luqman Hakim Zubir
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Luqman Hakim Zubir

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Al-Sultan Abdullah bertitah, selain itu, gagasan idea ‘Rahmatan Lil-Alamin’ yang diketengahkan juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat ke tahap lebih tinggi.

“Konsep ini sudah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam,” titah baginda.

Baginda bertitah, Islam adalah agama yang menyemai kasih sayang kepada makhluk Allah dan sifat itu perlu dipupuk dalam setiap jiwa anak watan.

“Keharmonian dan perpaduan antara semua serta penghijrahan negara ke tahap lebih tinggi akan boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh perpaduan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah, namun, konsep itu tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggar perintah agama.

“Perkara dan perbuatan bercanggah dengan ajaran dituntut Islam jika ditoleransi, akan meruntuhkan benteng agama.

“Justeru, dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi dan disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama serta hukum Allah SWT,” titah baginda.

Titah baginda, peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah lambang pengorbanan dan kejayaan wajar diteladani.

“Sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, marilah kita sama-sama seluruh rakyat Malaysia berhijrah membentuk sebuah negara maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh.

“Kita sudah jauh mengorak langkah membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat. Kemerdekaan negara adalah satu nikmat dan rahmat kurniaan Allah SWT.

“Sama-samalah kita memelihara nikmat dan rahmat ini buat bekalan generasi akan datang.

“Saya dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah serta berdoa agar negara dan seluruh rakyat jelata sentiasa berada bawah perlindungan Allah SWT,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X