Isnin, 2 September 2019 | 11:35am

JPN nafi ada cubaan daftar PATI

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan rakaman video yang tersebar luas mendakwa DAP Kepong merancang mendaftar MyKad bagi pendatang asing tanpa izin dari China.

JPN memaklumkan, ia adalah klip video lama berhubung mesej yang disalah tafsir pada waktu itu.

Katanya, ia menyebabkan orang ramai tiada kerakyatan, pemegang kad pengenalan sementara dan pemegang kad pengenalan tetap berpusu-pusu hadir di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menukar status kewarganegaraan mereka.

“Program anjuran pejabat Parlimen DAP Kepong pada penghujung 2018 itu hanya membabitkan sesi penerangan dan taklimat berhubung tatacara permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan oleh JPN.

“Tiada urusan permohonan dilaksanakan pada hari berkenaan dan JPN sudah menasihatkan mereka yang hadir pergi ke pejabat JPN berhampiran bagi urusan permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, rakaman video tular di media sosial yang mendakwa DAP Kepong merancang mendaftar MyKad bagi pendatang asing tanpa izin dari China.

April lalu, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, turut menafikan perkara berkenaan.

JPN turut meminta orang ramai menghentikan penyebaran video itu di media sosial bagi mengelak kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.

“JPN ingin mengingatkan tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat tidak benar,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di laman web www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN ditalian 03-88807077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected].

Berita Harian X