Selasa, 3 September 2019 | 8:12pm
Pengerusi, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Dr. Noraini Ahmad. -Foto Khairul Azhar Ahmad

PAC bakal muktamad syor isu Air Mobility, VEP

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memuktamadkan rumusan dan syor berhubung dua isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini.

Isu berkenaan membabitkan pembangunan Air Mobility dan projek Sistem Kutipan Cukai Jalan (RC) serta Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) menerusi Kementerian Pengangkutan.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata laporan akan dibentang ke Parlimen sebaik rumusan dan syor itu dimuktamadkan.

“Kedua-dua laporan dijangka dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dalam mesyuarat ketiga penggal kedua 2019 mulai 7 Oktober hingga 5 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAC hari ini mengadakan prosiding berhubung dua isu berkenaan dengan memanggil beberapa pihak berkepentingan yang mempunyai hubung kait dengan kes dibangkitkan.

“Dalam prosiding Air Mobility, PAC mendengar keterangan dan penjelasan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dan Pengarah Venture Tech Sdn Bhd (Venture Tech), Dr Norida Abdul Rahman.

“Ini prosiding ketiga isu itu. PAC dimaklumkan oleh Venture Tech Sdn Bhd yang juga syarikat pelaburan MIGHT mengenai pelaburan mereka dalam sektor Air Mobility di negara ini,” katanya sambil memaklumkan turut memanggil Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, sebelum ini.

Bagi kes berikutnya, Noraini berkata, PAC mendengar penjelasan dan keterangan bekas pemegang saham syarikat TCSens Sdn Bhd yang menerima kontrak bagi melaksanakan sistem berkenaan berjumlah kira-kira RM150 juta secara rundingan terus.

“Isu ini dilaporkan dalam LKAN siri dua 2017 dan PAC sudah menjalankan tiga prosiding sebelum ini dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, pada 20 Februari lalu.

“Pada 27 Mac lalu, PAC mendengar penjelasan dan keterangan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai,” katanya.

Turut dipanggil sebelum ini ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada 18 November 2014 hingga 15 Disember 2015.

Berita Harian X