Rabu, 4 September 2019 | 3:35pm
Anthony Loke pada sidang media berkaitan lesen memandu negara asing boleh ditukar kepada lesen memandu Malaysia menerusi dasar pertukaran lesen yang dijangka berkuatkuasa November ini. Turut sama, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kiri). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Peluang untuk tukar kepada lesen memandu Malaysia - Loke

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang memperoleh lesen memandu di negara asing boleh menukar kepada lesen memandu Malaysia menerusi dasar pertukaran lesen yang dijangka berkuat kuasa November ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pertimbangan khusus itu diberikan selepas menerima banyak permohonan rakyat Malaysia yang sebelum ini keluar negara, sama ada belajar atau bekerja dan mendapat lesen memandu di negara terbabit.

Beliau berkata, menerusi dasar sama, peserta program Malaysia My Second Home (MM2H) juga akan diberi kelulusan khas untuk membuat pertukaran kepada lesen memandu Malaysia.

Katanya, namun ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi warganegara Malaysia terbabit dan peserta MM2H bagi kelulusan khas berkenaan.

“Lesen memandu negara asal yang dipunyai individu berkenaan adalah masih sah dan berkuat kuasa. Ia mestilah lesen memandu penuh dan tidak termasuk lesen atau permit belajar memandu, lesen sementara atau percubaan.

“Lesen memandu negara asal akan ditukarkan kepada lesen percubaan (Lesen P) Malaysia dan wajib memenuhi semua syarat yang sama dikenakan kepada pemegang lesen P.

“Perkara ini bagi memastikan individu berkenaan benar-benar mempunyai kompetensi memandu dan mendidik mereka untuk mematuhi semua peraturan jalan raya negara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata, bagi peserta atau warganegara Malaysia yang diberikan lesen memandu daripada kalangan negara yang tidak membuat perjanjian kepada sebarang triti dengan Malaysia, mereka diwajibkan menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja.

“Perkara ini amat diperlukan bagi memastikan tahap pemahaman mereka ke atas undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini yang mungkin berbeza dengan negara berkenaan.

“Selain itu, bagi peserta MM2H, lesen memandu akan dibatalkan sekiranya peserta melanggar mana-mana syarat program, sudah dibatalkan daripada program MM2H dan didapati bersalah melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan, keperluan dokumen dan perincian pelaksanaan dasar ini sedang dimuktamadkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tarikh kuat kuasa dasar baharu dijangka awal November, namun kita akan maklum dari semasa ke semasa bagi membolehkan JPJ menyelesaikan semua proses termasuk pindaan sistem berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, setakat 3 September, seramai 55,673 pemandu e-hailing lulus ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) daripada sejumlah 86,789 calon yang mendaftar dan hadir kursus.

Katanya, semua pemandu e-hailing yang masih belum dilesenkan digesa memanfaatkan tempoh ‘soft landing’ sebelum penguatkuasaan peraturan e-hailing bermula 12 Oktober ini.

“Kita sudah beri masa mencukupi kepada semua pemandu untuk penuhi syarat, jadi harap tidak ada aduan tidak cukup masa atau sebagainya.

“Ada baki lima minggu lagi, jadi peringatan kepada sesiapa yang masih belum dapat PSV, segera daftar untuk ujian.

“Dalam tempoh sebulan lebih (selepas lanjutan masa diberi) kita dapat lihat peningkatan mereka yang duduki dan lulus PSV hampir 30,000 orang, jadi bermakna proses untuk dapatkan PSV ini bukannya susah,” katanya.

Berita Harian X