Rabu, 4 September 2019 | 5:24pm
MELAKA 04 SEPTEMBER 2019. Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz (duduk tengah) ketika sidang media kes kebocoran gas ammonia di Serkam. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Calon UPSR ditempatkan semula di sekolah asal

JASIN: Polis memaklumkan semua 101 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari tiga sekolah yang menduduki peperiksaan itu di pusat peperiksaan baharu hari ini, susulan insiden kebocoran gas dari kilang proses ayam berhampiran, di Merlimau, di sini, ditempatkan semula ke sekolah asal, esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam.

“Peperiksaan UPSR diadakan seperti biasa di sekolah mereka esok (hari ini) dan tiada sekolah ditutup.

“Sekolah beroperasi seperti biasa, guru juga datang ke sekolah, manakala cuti diberikan kepada murid Tahun Satu hingga Tahun Lima saja,” katanya pada sidang media di pusat kawalan operasi di lokasi kilang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, dua pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Jasin dan SMK Ayer Molek, Melaka Tengah yang dibuka pada jam 9.45 malam tadi, juga ditutup pada jam 7 pagi tadi.

Dilaporkan, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari malam tadi, mengeluarkan kenyataan saat akhir bahawa dua pusat peperiksaan baharu dibuka masing-masing di SMK Sri Mahkota yang menempatkan 75 calon dari SK Serkam Darat dan enam calon SJKT Ladang Serkam.

Katanya, 20 calon lagi dari SK Paya Redan ditumpangkan ke SK Paya Dalam.

Keputusan itu dibuat kerana ketiga-tiga sekolah itu terletak dalam radius kira-kira tiga kilometer dari kilang pemprosesan ayam terbabit.

Berita Harian X