Khamis, 5 September 2019 | 12:45pm

Tiga kawasan di Sarawak catat IPU tak sihat

KUCHING: Kawasan barat Sarawak kini menerima kesan daripada fenomena jerebu teruk yang sedang melanda Kalimantan Barat, Indonesia.

Hingga jam 9 pagi ini, dua kawasan baharu mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu Samarahan pada 105 dan Sri Aman, 122.

Ia sekali gus menjadikan tiga lokasi di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, selain Miri yang mencatat bacaan 101.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, bandar raya Kuching turut terjejas apabila bacaan IPU mencecah 98.

Jerebu dari Kalimantan Barat akan memberi banyak kesan di kawasan Kuching, Samarahan dan Sri Aman kerana pergerakannya mengikut arah angin dari wilayah itu.

“Berdasarkan laporan terkini, jumlah tompok panas di Kalimantan Barat hari ini meningkat tiga kali ganda berbanding yang dikesan semalam iaitu sebanyak 455i dan tujuh lagi dikesan di Sumatera manakala di Sarawak pula terdapat empat tompok panas,” kata kenyataan itu, hari ini.

Beliau berkata, Stesen Pengawasan Udara Automatik lain di negeri ini masih mencatatkan bacaan pada tahap sederhana pagi ini iaitu SK Baram 2 di Miri (70), Kuching (98), Sarikei (81), Bintulu (79), Samalaju (77), Sibu (72), Mukah (82), Kapit (62) dan Limbang (52).

Jarak penglihatan juga semakin merosot dengan Kuching 4 kilometer (km), Bintulu (5km) dan Miri (8km). Jarak penglihatan normal ialah 10km.

Kualiti udara di Bandaraya Kuching menunjukkan tahap bacaan IPU pada jam 10.10 pagi pada peringkat sederhana iaitu 100 disebabkan pergerakan angin dari Kalimantan membawa jerebu dari wilayah itu ke Sarawak. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Berita Harian X