Khamis, 5 September 2019 | 1:33pm
Kerajaan menjelaskan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, Pahang, dilanjutkan enam bulan selepas operasinya didapati selamat. - Foto hiasan
Kerajaan menjelaskan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, Pahang, dilanjutkan enam bulan selepas operasinya didapati selamat. - Foto hiasan

Penjelasan mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant

PUTRAJAYA: Kerajaan menjelaskan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, Pahang, dilanjutkan enam bulan selepas operasinya didapati selamat terhadap aspek keselamatan, kesihatan manusia serta alam sekitar.

Menerusi soalan lazim (FAQ) Penjelasan Mengenai LAMP yang dimuat naik di laman web Pejabat Perdana Menteri semalam, kerajaan menjelaskan, perlanjutan lesen itu diputuskan selepas Kabinet berpuas hati dengan hasil Laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP yang dilantik Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC ).

Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP ditubuhkan pada 17 Oktober 2018, bertujuan menilai pengoperasian LAMP terhadap aspek keselamatan, kesihatan manusia serta alam sekitar.

Penjelasan itu menyebut, fungsi utama jawatankuasa eksekutif itu antara lain mengkaji dan menilai pematuhan LAMP terhadap standard keselamatan, kesihatan serta alam sekitar menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Ia juga mengkaji dan menilai pengurusan sisa radioaktif dan bahan buangan terjadual yang dihasilkan oleh LAMP, selain tahap impak terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar bagi setiap aktiviti di tapak premis.

“Jawatankuasa ini telah menyiap dan menyerahkan laporan penilaiannya pada 27 November 2018. Laporan ini adalah rujukan utama Kabinet dalam hal berkaitan pengoperasian LAMP,” katanya.

Kerajaan juga menjelaskan, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom menetapkan syarat kepada Lynas untuk perlanjutan lesen operasi LAMP.

“Antaranya, memindahkan pemprosesan pemecahan dan larut-lesap (cracking and leaching) ke luar negara supaya operasi Lynas di Malaysia tidak lagi menghasilkan sisa radioaktif selepas kemudahan di luar negara siap dibina.

“Mengenal pasti tapak spesifik untuk pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (Permanent Disposal Facility, PDF) dalam tempoh enam bulan atau kemukakan kebenaran rasmi secara bertulis daripada pihak berkuasa mana-mana negara untuk membawa keluar residu radioaktif dari Malaysia.

“Menamatkan semua penyelidikan dan pembangunan (R&D) residu radioaktif sisa penulenan air larut lesap (WLP) sebagai condisoil (produk perapi tanah) untuk kegunaan dalam bidang pertanian,” jelasnya.

Menurut penjelasan itu, lebih 600 pekerja tempatan hilang pekerjaan jika lesen bagi operasi LAMP tidak dilanjutkan, selain memberi kesan negatif kepada kredibiliti Malaysia sebagai negara mesra perniagaan bagi pelaburan jangka panjang.

Penjelasan itu turut menyebut, LAMP sudah memenuhi dan mematuhi semua keperluan perundangan ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi membolehkan ia mendapat lesen berkaitan bagi membolehkannya beroperasi.

“Operasi LAMP juga diiktiraf mengikut beberapa standard antarabangsa termasuk standard ISO untuk kesihatan, keselamatan dan alam sekitar iaitu ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti), ISO 1400 1:2015 (Sistem Pengurusan Persekitaran) dan OHSAS 7800 1: 2007 (Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan),” katanya.

Berdasarkan dapatan data dan laporan daripada agensi kerajaan dan pakar, pengoperasian LAMP sejak enam tahun lalu juga didapati masih lagi terkawal dan selamat kerana pendedahan kepada radiasi berbahaya di tempat kerja dan persekitaran adalah di bawah paras dibenarkan.

Pemantauan perubatan bagi pekerja radiasi dan pekerja LAMP amnya tidak menunjukkan sebarang kelainan.

“Pihak LAMP juga sudah membuat pemantauan kesan radiasi terhadap masyarakat setempat iaitu dalam lingkungan kawasan 20 kilometer dari kilang dan mendapati tiada peningkatan risiko kesan radiasi sama ada dalam sampel udara, air dan tanah yang diambil.” katanya.

Berita Harian X