Khamis, 5 September 2019 | 7:07pm
Prof Dr Sulochana Nair (kanan) bercakap ketika Perbincangan Meja Bulat mengenai Kemiskinan di Malaysia. Turut hadir Prof Datuk Dr Denison Jayasooria (dua dari kiri), Marianne Clark Hattingh (kiri) dan Dr Kennetn Simler (dua dari kanan) di Dewan Mesyuarat, Malaysian International Chamber of Commerce & Industry. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Garis kemiskinan perlu merangkumi aspek sosial

KUALA LUMPUR: Garis kemiskinan tidak seharusnya ditentukan berdasarkan faktor fizikal, sebaliknya diperluaskan merangkumi aspek sosial yang memberi kesan kepada kos sara hidup.

Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, berkata faktor fizikal seperti gaji, pemilikan rumah dan kenderaan tidak lagi menjadi penentuan tahap kemiskinan seseorang khususnya yang menetap di bandar.

“Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira seperti kos pengangkutan awam, perumahan bagi golongan miskin, peluang pekerjaan dan perniagaan, keselamatan awam, kesihatan dan penjagaan di usia tua.

“Semua isu berkenaan perlu ditangani dan sebab itu ada keperluan supaya semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan masyarakat bekerjasama bagi mengatasi kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbincangan meja bulat mengenai kemiskinan di Malaysia berdasarkan laporan wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Perbincangan itu anjuran Kingsley Strategic Institute for Asia Pasific (KSI) dan The Malaysian CSO SDG Alliance.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Binary, Prof Dr Sulochana Nair, berkata kerajaan perlu membuat takrifan baharu bagi membezakan golongan masyarakat dalam kalangan B40.

“Golongan B40 adalah subjek utama dalam garis kemiskinan. Saya berpendapat cara untuk membantu mereka ialah dengan mengkategorikan golongan ini kepada beberapa kelas.

“Mereka boleh dikategorikan kepada kelas tinggi, pertengahan dan rendah. Lebih mudah untuk kerajaan membantu mereka dengan menyalurkan bantuan kepada saluran yang lebih tepat dengan berkesan berdasarkan kategori terbabit,” katanya.

Berita Harian X