Jumaat, 6 September 2019 | 3:42pm

Durian premium imbang kejatuhan harga sawit FELDA - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Tanaman durian premium termasuk Musang King dicadang ditanam secara komersial di FELDA tertentu bagi mengimbangi kejatuhan harga sawit.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk membolehkan projek perintis ke arah itu dapat dilaksanakan segera dalam masa terdekat.

“Pada masa ini satu jawatankuasa sudah dibentuk bertujuan mengenal pasti FELDA mana yang sesuai untuk pelaksanaan projek penanaman ini berdasarkan kajian terhadap kesesuaian tanah.

“Ini penting untuk menentukan durian jenis apa yang sesuai ditanam di kawasan FELDA terpilih kerana hanya durian premium sama ada Musang King, udang merah atau black thorn yang akan ditanam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Durian Agrobank, di perkarangan Menara Agorbank, di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Sim Sze Tzin, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Pemangku Presiden dan ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.

Salahuddin berkata, penanaman durian bukan saja sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu peneroka mengimbangi harga sawit yang semakin merosot tetapi juga sebagai pilihan kepada mereka untuk mengusahakan tanaman kontan.

“Penanaman pelbagai tanaman yang boleh dikomersialkan dilihat sebagai idea yang sangat praktikal kerana dapat membantu menambahkan pendapatan peneroka menerusi tanaman kontan.

“Peneroka akan memiliki dua atau tiga pendapatan tambahan. Pendapatan sawit pun mereka dapat dan tanaman kontan pula dapat memberi tambahan pendapatan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, melihatkan potensi industri durian pada hari ini, tanaman durian premium dijangka mampu memberi pulangan lebih besar selain menampung keperluan eksport durian negara.

“Saya bimbang permintaan bagi durian premium dari China saja pada hari ini adalah 1,000 tan sebulan dan masih belum cukup untuk memenuhi keperluan berkenaan.

“Sehubungan itu kita perlu memastikan beberapa FELDA ditanam dengan durian sebagai jaminan pasaran yang lebih baik. Malah ia bukan hanya dapat dimanfaatkan untuk pasaran antarabangsa tetapi juga memastikan bekalan pasaran tempatan adalah mencukupi.

“Bekalan durian semakin banyak juga membolehkan semua rakyat dapat menikmati durian Musang King, udang merah dan black thorn pada harga yang berpatutan,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar (kanan) melawat pameran jualan durian pada Festival Durian Agrobank 2019 di Menara Agrobank, Kuala Lumpur. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar (kanan) melawat pameran jualan durian pada Festival Durian Agrobank 2019 di Menara Agrobank, Kuala Lumpur. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Berita Harian X