Jumaat, 6 September 2019 | 8:22pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

PSS untuk warga asing menetap lama di Sabah

KOTA KINABALU: Satu dokumen baharu dikenali sebagai Pas Sementara Sabah (PSS) akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dokumen itu akan menggantikan ketiga-tiga jenis dokumen sedia ada dimiliki warga asing yang sudah lama menetap di negeri ini.

Beliau berkata, kad berkenaan akan dilengkapi ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari pemegangnya.

“Ketika ini ada tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing yang sudah lama menetap di Sabah yang dikeluarkan agensi Persekutuan dan negeri iaitu IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci. Ia menyukarkan penguatkuasaan kerana banyak dokumen, selain sukar mengesan yang mana sah dan sebaliknya.

“Jadi, kita bincang untuk meningkatkan cara penguatkuasaan dan memastikan rekod warga asing ini dibuat secara berpusat serta seragam. Sebab itu kita putuskan untuk keluarkan PSS berkuat kuasa 1 Jun 2020,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah dipengerusikan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Muhyiddin, di sini, petang tadi.

Muhyiddin berkata, bayaran RM120 akan dikenakan bagi setiap pemegang PSS untuk tempoh tiga tahun dan ia boleh diperbaharui, namun boleh ditarik balik jika pemegangnya terbabit kegiatan jenayah atau pengganas.

Katanya, dianggarkan 600,000 PSS akan dikeluarkan kepada warga asing terbabit berdasarkan jumlah pemegang tiga jenis dokumen yang dikenal pasti ketika ini.

IMM13 adalah dokumen dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pelarian perang dari selatan Filipina pada 1970-an, manakala Kad Burong-Burong dan Sijil Banci masing-masing dikeluarkan kepada pendatang asing pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap usaha membanteras pergerakan individu menggunakan dokumen palsu atau dokumen individu lain melalui pintu masuk lapangan terbang di Sabah dengan meningkatkan fasiliti pemeriksaan.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, pengeluaran dokumen baharu menggantikan tiga dokumen terdahulu itu langkah pertama bagi mengatasi isu dokumentasi pendatang asing di Sabah.

“Ini usaha kerajaan mengatasi masalah serius ini. Langkah ini penting dan ia juga diperhalusi dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang asing Sabah dulu yang berkaitan kepelbagaian dokumen.

“Isu pendatang asing ini sangat rumit dan tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat, tetapi kita yakin langkah pertama ini dapat menyelesaikan isu dokumen berbeza dalam kalangan warga asing di Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dokumen baharu itu hanya dikeluarkan kepada warga asing sedia ada dan dikenal pasti memegang tiga jenis dokumen terdahulu dan bukan yang baru memasuki negeri ini sama ada secara haram atau sebaliknya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X