Sabtu, 7 September 2019 | 12:08pm
Lebuhraya Utara-Selatan menjadi pemacu pembangunan bandar kecil, sekali gus membantu jana ekonomi penduduk setempat
Lebuhraya Utara-Selatan menjadi pemacu pembangunan bandar kecil, sekali gus membantu jana ekonomi penduduk setempat

Lebuh raya penghubung rakyat

Memori perasmian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 8 September 1994 adalah detik keramat yang tidak akan dilupakan oleh kakitangan PLUS, Husni Md Yusof.

Ini kerana tarikh perasmian Lebuhraya PLUS yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah Perdana Menteri keempat, diadakan sebulan selepas Husni menyertai syarikat itu.

Memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Pentadbiran Sumber Manusia di syarikat itu, Husni, 54, kini menjawat jawatan sebagai Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah adalah antara kakitangan berpeluang melihat perkembangan demi perkembangan PLUS yang kini menjadi penghubung seluruh rakyat Malaysia di Semenanjung.

“Saya berbangga dapat berkhidmat dengan PLUS yang menjadi tulang belakang kepada negara. Lebih membanggakan lebuh raya ini disiapkan 15 bulan lebih awal daripada dijadualkan.

“Sebagai kakitangan yang lama berkhidmat dengan PLUS, saya melihat bagaimana sumbangan lebuh raya ini kepada negara secara keseluruhan. Pekan yang suatu ketika dulu tiada kini sudah ada, bandar yang kecil menjadi besar dan sistem perhubungan canggih memudahkan perjalanan.

“Dulu ada yang menyatakan, laluan yang dibuka itu jalan hantu, tetapi kini Lebuhraya PLUS digunakan 1.7 juta pengguna setiap hari,” katanya yang pernah berkhidmat di semua Wilayah PLUS.

Husni turut berbangga dengan pembukaan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh yang dapat menjadi medan pertemuan pengguna dari arah Utara ke Selatan dan dari Selatan.

Melihat kemajuan PLUS dari sudut kemerdekaan, katanya kejayaan itu adalah berdasarkan lima Prinsip Rukun Negara yang dilihat sebagai satu kerana ianya saling berkait.

Sempena Hari Kemerdekaan ini, Husni berharap pengguna lebuh raya dapat mematuhi undang-undang, saling menghormati di jalan raya dan menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh PLUS secara berhemah.

Segala usaha pembangunan dilaksanakan oleh kakitangan terdahulu, kini diteruskan oleh generasi muda yang menggemblengkan tenaga dan buah fikiran bagi memastikan PLUS sentiasa maju serta menjadi kebanggaan negara.

Bagi S Thanesh Khana, 32, baru empat bulan bersama PLUS dan ditugaskan di Pejabat Pengurusan Perubahan iaitu fungsi baharu ditubuhkan yang bertanggungjawab menguruskan perubahan dari sudut proses, teknologi, sistem dan struktur.

Thanesh membantu pasukannya untuk memastikan perubahan dapat dilakukan dengan secara efektif.

Dalam melaksanakan tugasnya, beliau akan bekerjasama dengan pengurus projek bagi memastikan apa yang dilakukan dapat berjalan dengan lancar.

Sambil melahirkan rasa bangga dapat berkhidmat bersama PLUS, Thanesh melihat aspek keselamatan pengguna banyak ditingkatkan oleh PLUS.

“Sebagai kakitangan PLUS yang banyak berhubung dengan orang ramai dan memerlukan kerjasama serta komitmen sememangnya, prinsip Rukun Negara kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan adalah sesuai untuk diguna pakai.

“Hari kemerdekaan, memberi makna tersendiri kepada saya mengenai keamanan dan keharmonian. Kita tinggal di negara berbilang kaum dan bangsa, jadi kita perlu menghormati antara satu sama lain. Hari Kemerdekaan juga sentiasa istimewa buat saya kerana ibu saya lahir pada 16 September 1957,” katanya.

Sementara itu, Kelvin Tan Ming Zhuan daripada Perancangan Tenaga Kerja dan Pemerolehan Bakat berkata, prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan menjadi pegangan teguh dalam kehidupan seharian.

“Dalam menjalankan tugas kita perlu ada integriti. Jika kita melanggarnya ia akan menjejaskan kepentingan syarikat.

“Saya gembira bekerja dengan PLUS kerana ia memberi kemudahan kepada seluruh rakyat Malaysia. Selain menyediakan sistem perhubungan ia juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sepanjang lebuh raya kepada pengguna.

“PLUS juga sentiasa mengingatkan pengguna mengenai keselamatan jalan raya sama ada menerusi papan iklan mahupun melalui media,” katanya.

Erti merdeka bagi Kelvin adalah kebebasan dan bijak dalam membuat keputusan. Oleh itu beliau berharap, sempena meraikan Hari Kemerdekaan, semua rakyat dapat bersatu.

Berita Harian X