Ahad, 8 September 2019 | 10:07am

Jet pejuang usang wajar diganti - Mohamad Sabu

KLANG: Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan pembelian jet pejuang baharu bagi menggantikan jet Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata ini kerana aset pertahanan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sudah usang dan perlu diganti.

“Namun, cadangan pembelian jet pejuang ini masih di peringkat kajian.

“Ia juga bergantung kepada rundingan seterusnya antara Malaysia dan Russia. Ia juga bergantung kepada keadaan kewangan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Run For Peace 2019 di Padang Besae Taman Klang Jaya di sini, hari ini.

Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Vladivostok, Russia, menawarkan untuk mengambil balik 28 jet pejuang Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 milik TUDM yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baharu buatan negara itu.

Russia juga menawarkan alat ganti baharu dan khidmat baik pulih jika Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pesawat lama berkenaan.

Dr Mahathir memberitahu Putin kerajaan akan mempertimbangkan kedua-dua tawaran Russia.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melepaskan peserta larian ‘Run For Peace' anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Padang Besar Klang Jaya, Klang. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X