Ahad, 8 September 2019 | 1:22pm
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (tengah) menyertai larian bersama peserta pada program Pahlawan Run 2019 'Run With Your Tanjak' di Kolej Yayasan Saad, Durian Tunggal. - Foto Rasul Azli Samad

Tanjak budaya Malaysia - Ahli perniagaan

MELAKA: “Walaupun berketurunan India, saya tidak malu memakai tanjak kerana menganggapnya budaya tradisional yang perlu dibanggakan seluruh masyarakat Malaysia,” kata ahli perniagaan R Thevendran.

Lelaki kelahiran Bukit Cina, Melaka berusia 43 tahun itu berkata, tanjak juga melambangkan budaya rakyat negara ini yang boleh ‘dihidupkan’ sesiapa sahaja sekali gus memperkukuhkan perpaduan kaum.

“Sejak kecil hingga sekarang saya saya ada ramai kawan berbangsa Cina dan tidak malu untuk memakai tanjak Jalur Gemilang hari ini yang menjadi lambang masyarakat Melayu dahulu kala.

“Keharmonian yang sudah terbentuk sejak sekian lama perlu diperkukuhkan melalui aktiviti sebegini yang dapat menonjolkan nilai sejarah, budaya dan kebersamaan masyarakat kita dalam apa jua situasi,” katanya ketika ditemui NSTP di sini hari ini.


Peserta, R Thevendran, 43, (kiri) bersama isteri C Anushia, 43, (kanan) serta anaknya Sailesh Tevan, 15, dan Harsyikha Tevan, 6, bergambar selepas menyertai program Pahlawan Run 2019 'Run With Your Tanjak' di Kolej Yayasan Saad, Durian Tunggal. - Foto Rasul Azli Samad

Terdahulu, Thevendran, isteri, L Anushia, 43, anak perempuan dan anak lelakinya, T Harsyikha, 6 dan T Sailesh, 15, adalah antara 870 peserta yang menyertai program Pahlawan Run 2019 ‘Run With Your Tanjak’ di Kolej Yayasan Saad, Durian Tunggal di sini.

Program anjuran Persatuan Bekas Pelajar Kolej Yayasan Saad (KYSER) dirasmikan Timbalan Menteri Industri Utama yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Seorang lagi peserta, Asbiah Sabtu, 41, berkata dia meluangkan masa lebih dua jam petang semalam untuk menyiapkan sendiri lima tanjak daripada kain pelikat untuk dipakai bersama rakan-rakan dan adiknya pada program itu.

“Ikut perancangan awal, kami mahu membeli tanjak tetapi di saat akhir mengubah rancangan untuk menghasilkannya sendiri supaya seragam memakai warna tanjak yang sama.

“Ia menjadi kenangan indah tambahan pula kita masih berada di tengah-tengah Bulan Kemerdekaan selepas sambutan Hari Merdeka 31 Ogos lalu dan bakal menyambut Hari Malaysia 16 September ini,” katanya.


Peserta, Sabariah Sabtu, 37, (tengah) bersama kakaknya Asbiah Sabtu, 41, (dua dari kiri) bergambar selepas menyertai program Pahlawan Run 2019 'Run With Your Tanjak' di Kolej Yayasan Saad, Durian Tunggal. - Foto Rasul Azli Samad

Turut mencuri tumpuan adalah Saedon Abu Bakar, 37, bersama enam ahli keluarganya yang mengenakan tanjak jenis lipatan simbol ’Dendam Tak Sudah’ yang tiba di padang kolej berkenaan seawal jam 7 pagi.

“Saya tertarik untuk menyertai larian ini kerana temanya beriadah bersama tanjak yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu sejak ratusan tahun lalu agar ianya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Berita Harian X