Ahad, 8 September 2019 | 6:57pm

Jualan Matta Fair RM200 juta, percutian Muslim pilihan utama

KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2019 mencatatkan nilai jualan pakej perjalanan berjumlah RM200 juta sepanjang tempoh tiga hari program berlangsung berakhir hari ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata jumlah itu berkurangan sedikit berbanding RM220 juta pada pameran Mac lalu.

Beliau berkata, destinasi pilihan paling popular antaranya Guilin di China, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Taiwan dengan memilih pakej percutian Muslim

Katanya, destinasi seperti Russia dan Afrika Selatan mendapat maklum balas positif kerana ramai pengunjung berminat mendapatkan maklumat mengenai destinasi berkenaan.

“Tapak pameran yang menyediakan pakej percutian domestik tidak kurang hebatnya, pengunjung merebut peluang percutian dalam negara pada harga istimewa.

“Dianggarkan kira-kira 100,000 pengunjung hadir pada pameran kali ini,” katanya di sini, hari ini.


Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Program pertama MATTA Fair berlangsung pada 1991 hanya mencatatkan 8,000 pengunjung dengan nilai jualan RM10 juta.

Kok Liang berkata, MATTA mengenal pasti aliran terkini pengunjung gemar mendapatkan pakej menawarkan pengalaman menarik dengan ikut serta menjayakan aktiviti bersesuaian, selain menyaksikan pemandangan semata-mata.

“Jadi, kali ini, agensi memahami kehendak pelancong dengan menyediakan jadual perjalanan dan aktiviti sesuai dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Shamala Gowri Supramaniam, 30, berkata beliau menjadikan pameran ini sebagai tempat paling baik mendapatkan pakej pelancongan keluarga bercuti yang dijadual pada perayaan Deepavali ini.

“Pameran ini menarik kerana menyediakan pelbagai pilihan destinasi pada harga berpatutan, selain panduan perjalanan selamat,” katanya yang datang dari Semenyih.

Norashikin Nazri, 32, dari Ipoh, Perak pula berkata, mereka sekeluarga sanggup ke ibu kota semata-mata mahu memilih pakej pelancongan dengan nilai berbaloi.

“Kami mencari destinasi yang menawarkan pakej lengkap, selain tawaran harga berpatutan untuk percutian seterusnya,” katanya.

Bagi pengendali agensi pelancongan Shuhada Holidays, Nur Amira Zulkifli, sepanjang tempoh tiga hari pameran, pengunjung lebih bijak memilih destinasi.

Katanya, agensi perlu kreatif menyediakan pakej bersifat mesra pelancong pada harga berdaya saing bagi memenuhi keperluan setiap individu.

“Sambutan kali ini sangat baik, kami mencapai sasaran dengan nilai jualan pakej bernilai RM300,000,” katanya.

Orang ramai mengunjungi Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2019 di Putra World Trade Centre (PWTC). - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X