Ahad, 8 September 2019 | 9:37pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (dua dari kiri) menerima cenderahati pokok orkid daripada Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim pada majlis penutup Royal Floria Putrajaya (RFP) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (dua dari kiri) menerima cenderahati pokok orkid daripada Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim pada majlis penutup Royal Floria Putrajaya (RFP) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Pemilihan Taman Botani beri nilai tambah kepada penganjuran RFP 2019

PUTRAJAYA: Pemilihan Taman Botani sebagai lokasi penganjuran baharu Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya atau Royal Floria Putrajaya (RFP), memberi nilai tambah ketara kepada penganjurannya, khususnya dari aspek kehadiran pengunjung.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata dengan bilangan pelawat mencecah 160,000 orang, RFP 2019 yang berakhir hari ini kekal menjadi platform terbaik mengangkat nama Putrajaya sebagai lokasi penganjuran festival bunga dan taman walaupun tempat penganjurannya berubah.

Katanya, selepas 10 tahun bertapak di Anjung Floria, Presint 4, pemilihan Taman Botani tidak memberi kesan kepada sambutan pengunjung malah, malah langkah itu juga dianggap berjaya dalam misi mempromosi keunikannya selaku ‘mother of all garden’ mewakili 12 taman metropolitan yang ada di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

“Jumlah pengunjung mencecah 160,000 pada RFP kali ini, dikira amat baik jika mengambil kira perubahan lokasi berbanding 120,000 pelawat mengunjungi festival itu semasa dianjurkan di Anjung Floria sebelum ini.

“Kita akui ada kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi peningkatan bilangan pengunjung menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap RFP walaupun diadakan di lokasi baharu,” katanya kepada pemberita selepas menutup festival itu di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Royal Floria Putrajaya 2019 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Ogos lepas melabuhkan tirainya tengah malam ini.

Khalid berkata RFP 2019 juga mencatat sejarah tersendiri apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan merasmikan orkid hibrid baharu yang diberi nama ‘Vanda Queen Azizah Iskandar’ bersempena dengan nama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Aminuddin mengumumkan Orkid dan Bromeliad sebagai bunga tema festival bagi penganjuran RFP pada tahun hadapan.

Beliau berkata sebagai mana orkid yang telah dikenali, pihaknya juga ingin memperkenal dan mempromosi bromeliad, iaitu sejenis tanaman hiasan yang berpotensi dikomersialkan kepada umum.

Bromeliad adalah sejenis tumbuhan tropika yang tergolong dalam keluarga yang sama dengan nanas iaitu Bromeliaceae, mempunyai pelbagai varieti yang menarik selain mudah ditanam dengan penjagaan yang minimum. - – BERNAMA

Berita Harian X