Selasa, 10 September 2019 | 2:11pm
Amirudin berucap pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di ibu pejabat Air Selangor di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

PTG, polis akan ambil tindakan pada penceroboh Bukit Beruntung

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor mengambil tindakan segera berikutan pencerobohan berterusan warga asing di tanah kerajaan serta persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Amirudin berkata, pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama polis berikutan kedegilan warga asing itu mengosongkan kawasan terbabit walaupun notis pengosongan kawasan sudah dikeluarkan PTG Hulu Selangor.

“Pejabat tanah dan pihak polis akan mengambil tindakan. Kita ada banyak kes (seperti ini) sebelum ini dan akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di ibu pejabat Air Selangor di sini, hari ini.

Tinjauan BH Ahad lalu mendapati warga asing terus menceroboh tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung , sekali gus notis pengosongan kawasan dikeluarkan PTG Hulu Selangor tidak diendahkan.


Laporan eksklusif dalam akhbar BH semalam.

Meskipun papan dengan notis pengosongan kawasan dipacak atas tanah yang diceroboh, kerja pembangunan tanah untuk kebun sayur masih dijalankan tanpa ada tanda mereka akan berhenti daripada melakukan aktiviti itu atau keluar dari situ.

Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah itu sudah dikeluarkan PTG Hulu Selangor terhadap semua penceroboh terbabit mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(a), (b) dan (c) Kanun Tanah Negara 1963 sejak 29 Julai lalu, yang memberi tempoh 14 hari kepada penceroboh meninggalkan kawasan berkenaan bersama semua peralatan dan kelengkapan yang dibawa ke situ selama ini.

BH dalam laporan eksklusifnya mendedahkan operasi kawasan pertanian komersial membabitkan penanaman sayur-sayuran dengan anggaran keluasan 60 hektar yang diusahakan kira-kira 80 warga asing secara haram.

Tinjauan mendapati tanah berbukit dan lembah di situ, diteroka pendatang asing dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran dan mereka dipercayai mengambil kesempatan meneroka tanah di situ berikutan kawasan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya, kerana sebahagian tanah terletak di bawah laluan pencawang kabel elektrik berkuasa tinggi.

Berita Harian X