Selasa, 10 September 2019 | 4:41pm
Datuk Kua Abun (tengah) berbual bersama peserta selepas berucap merasmikan Majlis Perasmian Seminar Sumber Manusia hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan rangka NHRB depani cabaran Industri 4.0

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka Pelan Tindakan Sumber Manusia Kebangsaan (NHRB) ke arah mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan isu berkaitan pasaran buruh negara.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pelan tindakan berkenaan akan menganalisis perubahan dan peluang yang dihasilkan dalam pekerjaan, kemahiran dan pembangunan sumber manusia untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Dengan merangka pelan tindakan ini, kita yakin ia mampu membuka jalan pembangunan strategik dan komprehensif kepada pembangunan sumber manusia negara,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Sumber Manusia di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) kementerian berkenaan, Datuk Kua Abun.

Kulasegaran menjelaskan, NHRB merangkumi tiga kerangka utama iaitu iaitu tenaga kerja, tempat kerja dan pekerjaan.

“Kajian berkaitan kerangka tenaga kerja akan mengambil kira kesan peralihan,

globalisasi, pendigitalan, e-dagang, perkembangan teknologi dan inovasi yang dibawa Industri 4.0 terhadap ekonomi Malaysia serta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, warga asing dan ekspatriat.

“Kajian mengenai tenaga kerja juga akan memfokus kepada keperluan semasa dan masa depan berkaitan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pembelajaran Sepanjang Hayat (LFL) dan Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (RFL) untuk memastikan 35 peratus tenaga kerja mahir tempatan dapat dicapai menjelang 2020.

“Selain itu, perubahan pesat dan evolusi dalam persekitaran kerja dan sistem pasaran buruh membentuk cabaran baharu kepada negara.

“Saya pasti semua tahu Kementerian Sumber Manusia dalam proses meminda Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Kerja 1959 dan Akta Hubungan Industri 1967 untuk memastikan undang-undang buruh tidak didiskriminasi, fleksibel dan selaras dengan standard antarabangsa seperti ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.

Selain itu, katanya kajian itu akan membantu mengenal pasti dan meramal keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi dan subsektor kritikal serta pekerjaan mengikut kategori selari dengan keperluan ekonomi negara bagi tempoh 2019 hingga 2035.

Berita Harian X