Rabu, 11 September 2019 | 12:10am
Putera Edward dari Britain malam ini menghadiri tayangan khas filem dokumentari Blue Planet II terbitan BBC Studios bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya pemuliharaan samudera dan bahaya pencemaran plastik. - NSTP/Azhar Ramli

Putera Edward tekankan tentang pentingnya pemuliharaan samudera

KUALA LUMPUR: Putera Edward dari Britain malam ini menghadiri tayangan khas filem dokumentari Blue Planet II terbitan BBC Studios bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya pemuliharaan samudera dan bahaya pencemaran plastik.

Siri dokumentari kehidupan liar itu disampaikan oleh Sir David Attenborough yang juga bertindak sebagai pencerita. Siri itu akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk tontonan seluruh negara.

Turut berangkat ke tayangan itu bersama Putera Edward yang juga bergelar The Earl of Wessex ialah Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu puteri kepada Sultan Selangor yang juga seorang pencinta alam sekitar.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, turut hadir.

Ketika berucap, Putera Edward, yang dalam lawatan dua hari ke Malaysia, menekankan tentang pentingnya lautan kepada masa depan manusia dan juga perlunya mengelakkan manusia daripada mengganggu samudera.

“Kita mesti melakukan yang terbaik dan kita boleh lakukan dengan lebih baik,” katanya sambil menggesa masyarakat untuk mengambil minat yang lebih mendalam mengenai samudera dan apa yang sedang berlaku di planet ini.

Menurut kenyataan akhbar bersama dari kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Britain, tayangan itu sebahagian daripada program sepanjang hari termasuk pameran yang menampilkan usaha bersama Malaysia-United Kingdom dalam menangani sisa plastik dan melindungi alam sekitar.

Bee Yin dalam ucapannya berkata, kementeriannya sedang berbincang untuk menubuhkan Malaysia Plastics Pact dianggotai pelbagai perniagaan, agensi kerajaan dan ahli masyarakat awam dalam usaha untuk membawa bersama pihak berkepentingan bersama untuk menangani masalah sisa plastik di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif itu akan melengkapkan dan memacu usaha ke arah membangunkan ekonomi sirkular plastik seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik.

Menurut siaran akhbar, kementerian akan mengadakan program kesedaran alam sekitar selama sebulan bermula pertengahan September, yang memberi tumpuan kepada plastik sekali guna. Kemuncak program adalah acara sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 19 Oktober.

Tayangan malam ini juga menyaksikan Khor Sue Yee dan Tin Fong Yun, pengasas Zero Waste Malaysia iaitu pertubuhan bukan kerajaan, diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Commonwealth of Light’ atas usaha mereka memperjuangkan sisa sifar.

Putera Edward kemudian menyampaikan sijil yang ditandatangani oleh Queen Elizabeth II kepada kedua-dua mereka. - BERNAMA

Berita Harian X