X
Rabu, 11 September 2019 | 2:41pm
TIMBALAN Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Syamsi Suhaimi
TIMBALAN Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Syamsi Suhaimi

Cantum tanah pesawah kecil mampu jana pendapatan lebih

TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan menganggap cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi mencantumkan tanah pesawah kecil sebagai idea menarik, kerana mampu meningkatkan pendapatan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bagaimanapun berkata cadangan itu perlu kajian terperinci oleh pihak berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kita menganggap cadangan Dr Mahathir itu sangat menarik kerana kebanyakan tanah kini diusahakan individu dan sekiranya dicantumkan, ia mungkin memberi pendapatan lebih besar.

“Malah sekiranya usaha itu dibuat kajian secara teliti dan terperinci, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama.

“Kajian itu penting bagi melihat kelebihan dan kelemahan memandangkan sawah berkenaan milik individu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO di Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) di sini, hari ini.

Semalam Dr Mahathir berkata pesawah kecil perlu mencantumkan tanah milik mereka bagi dijadikan ladang padi yang diurus secara profesional dan menjana keuntungan.

Beliau berkata, jika usaha itu tidak dilakukan, pesawah kecil akan terus menjadi antara rakyat termiskin di negara ini yang bergantung kepada subsidi dalam penanaman sawah.

Katanya, sawah yang berkeluasan antara dua hingga tiga hektar tidak mampu memberi keuntungan kepada pesawah sama seperti kebun sawit atau getah yang diusahakan secara kecil-kecilan.

Berita Harian X