Rabu, 11 September 2019 | 4:02pm
LATHEEFA Koya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) hari ini. Turut hadir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi (kiri). -foto BERNAMA

Jangan jadikan SPRM medan buat laporan sesama sendiri

KOTA KINABALU: Semua pihak diingatkan supaya berhenti menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik atau medan untuk membuat laporan terhadap sesama sendiri seperti yang berlaku dalam kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata agensi itu sebelum ini digunakan sebagai alat politik.

“Orang buat laporan hanya untuk mengenakan sesama sendiri tetapi sekarang kita bergerak secara profesional. Kita tidak mahu digunakan sebagai medan untuk buat laporan sesama sendiri.

“Jika kita siasat, aduan itu mesti ada asas, laporan tidak semestinya ada kes, kadang-kadang aduan hanya aduan saja. Kita mahu didik orang ramai, kita tidak mahu buat laporan dan lepas itu buat sidang media hanya untuk mengenakan seseorang,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Mengenai kes rasuah berprofil tinggi di Sabah, beliau tidak menafikan ada kes seumpama itu sedang disiasat, namun pendedahan mengenainya hanya dibuat apabila SPRM sudah bersedia.

“Kami tidak menghentikan siasatan hanya kerana seseorang itu mendapat kuasa, kita hanya berhenti jika ia melampaui aduan asas. Kita ada contoh kes yang dilapor atas motif politik,” katanya apabila ditanya mengenai siasatan erhadap mana-mana individu termasuk yang dikaitkan dengan Mohd Shafie sebelum ini.

Dalam pada itu, mengulas kunjungan hormatnya kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Latheefa berkata, pihak ada menawarkan untuk meletakkan seorang pegawai kanan agensi itu di Pejabat Ketua Menteri sebagai langkah pencegahan bagi memastikan tiada peluang rasuah dalam kerajaan negeri.

Penempatan pegawai kanan SPRM itu adalah sebagai tambahan kepada pegawai sedia ada dilantik kerajaan negeri yang ditugaskan untuk melihat aspek integiti.

Latheefa berkata, tawaran itu mendapat maklum balas positif Mohd Shafie dan ia dijangka dilaksanakan sejurus perincian mengenainya diselesaikan SPRM.

Mengenai penempatan pegawai integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri seperti dilaksanakan di peringkat Pusat, beliau berkata perkara itu terpulang kepada keputusan kerajaan negeri kerana ia dalam bidang kuasanya.

“Kita sedar mungkin rasuah lebih tinggi di GLC negeri dan kita berharap perkara ini diberikan perhatian,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya SPRM turut meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengisytiharkan aset sebagai langkah pencegahan rasuah di peringkat negeri.

Berita Harian X