Rabu, 11 September 2019 | 8:13pm
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Ir. Omar Mat Piah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Perlu ada SOP berkaitan bahaya kerana pekerjaan

PUTRAJAYA: Majikan perlu mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani perkara berkaitan bahaya disebabkan pekerjaan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Ir Omar Mat Piah, berkata ugutan seperti ugutan bunuh juga dikategorikan sebagai bahaya disebabkan pekerjaan.

“Mereka yang bekerja di kaunter bank juga terdedah kepada bahaya akibat pekerjaan seperti dirompak.

“Jadi, jika mengikut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), majikan perlu mempunyai prosedur atau langkah yang perlu diambil jika pekerja mereka menerima ugutan sedemikian atau bahaya lain yang disebabkan oleh pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyempurnaan Seminar Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bersama pengamal media di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Isnin lalu, pengurusan BH mengesahkan seorang daripada wartawannya menerima ugutan bunuh berikutan satu laporan pendedahan yang dibuat akhbar ini beberapa hari lalu.

Berikutan ugutan yang diterima menerusi e-mel itu, satu laporan polis dibuat pada Ahad lalu.

Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid, berkata pihaknya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan, sebaliknya ancaman sedemikian akan menguatkan azam akhbar itu untuk terus gigih membongkar sebarang berita membabitkan masyarakat di negara ini.

Berita Harian X