Rabu, 11 September 2019 | 11:44pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap dimajlis makan malam sambutan 35 tahun Binary University di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Malaysia perlu tumpu semula bidang keusahawanan - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia perlu memberi tumpuan semula kepada bidang keusahawanan.

Perdana Menteri berkata, negara yang tidak berbuat demikian akan mengalami kesukaran untuk maju.

“Keusahawanan adalah nyawa sebuah negara yang boleh membantu dalam memacu ke tahap lebih tinggi, justeru Malaysia perlu menjadi sebuah negara keusahawanan.

“Keusahawanan boleh membantu Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan menerusi idea inovatif dan penghasilan sesuatu yang baharu.

“Malah, keusahawanan dijangka menyumbang kepada penghasilan satu juta peluang kerja menjelang 2030,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-35 Universiti Binary di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengasas Universiti Binary, Tan Sri Joseph Adaikalam.

Perdana Menteri berkata, pendidikan yang hanya tertumpu kepada akademik akan melahirkan graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan, sekali gus mewujudkan masalah ekonomi dan sosial.

“Ada negara yang hilang sebuah generasi kerana tiada peluang pekerjaan. Negara yang mempunyai ramai anak muda berpelajaran tetapi tidak mempunyai pekerjaan pastinya mengundang malapetaka dan masalah perpaduan sosial.

“Justeru, kita memerlukan pendekatan yang memandang jauh ke hadapan bagi menggerakkan Malaysia sebagai negara maju,” katanya.

Berita Harian X