Khamis, 12 September 2019 | 12:39pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran 7th Asia-Pacific Urban Forum (APUF7) di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar Yew Tung Seang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Datuk Dr Mary Wong Lai Lin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KPKT teliti mekanisme pemilikan rumah warga asing

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meminta semua pihak tidak tersalah anggap mengenai cadangan menganjurkan kempen pemilikan rumah di negara ini kepada warga China atau Hong Kong.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih meneliti cadangan itu, khususnya mekanisme pelaksanaannya.

“Itu (cadangan kempen pemilikan rumah kepada warga China dan Hong Kong) adalah hasil maklum balas awal selepas lawatan saya ke Hong Kong dan China, baru-baru ini.

“Sekarang masih di peringkat penelitian untuk memperincikan mekanisme di bawah Program Malaysia My Second Home (MM2H). Daripada mereka (warga asing) beli (rumah) di negara lain, lebih baik beli di Malaysia.

“Sudah tentu juga program ini terbuka kepada rakyat negara lain, bukan Hong Kong dan China sahaja,” katanya kepada media selepas selepas prapelancaran ‘7th Asia-Pacific Urban Forum’ (APUF7), di sini hari ini.

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran 7th Asia-Pacific Urban Forum (APUF7) di Putrajaya, turut kelihatan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar Yew Tung Seang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Zuraida berkata, ada juga permintaan daripada golongan berstatus penduduk tetap (PR) untuk diberi peluang memiliki rumah melalui program MM2H.

“KPKT akan teliti dan berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Dalam Negeri. Kita akan teliti dan menyediakan mekanisme lebih kemas,” katanya.

Katanya, kempen pemilikan rumah kepada warga asing bukan bermakna kerajaan mengutamakan orang luar, sebaliknya kediaman yang ditawarkan adalah jenis premium, iaitu mewah berharga lebih RM1 juta.

“Rumah seperti ini kalau tak terjual akan terbengkalai. Jadi dengan cara ini (kempen), kita galakkan pelaburan dan pembangunan setempat, kita tak mahu 20 tahun lagi di Malaysia ini, banyak rumah terbiar kerana tiada pembeli,” katanya.

Semalam, beliau selepas merasmikan Pameran ‘Smart Cities Asia’ 2019 di ibu negara, dilaporkan berkata kerajaan menyasar penganjuran kempen pemilikan rumah, sama ada di China atau Hong Kong.

Ia bagi menarik pembeli China datang dan melabur dalam pasaran hartanah tempatan, yang lebih murah berbanding pasaran lain.

Zuraida berkata, ketika lawatannya ke Hong Kong, beliau ke sebuah flat berkeluasan 250 kaki persegi bernilai RM3 juta.

Pada masa ini, terdapat projek rumah mewah yang bernilai kira-kira RM100 bilion tidak terjual di negara ini.

Berita Harian X