Khamis, 12 September 2019 | 4:38pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. NSTP/Asyraf Hamzah

Strategi keselamatan siber kebangsaan di peringkat akhir kajian

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kini di peringkat akhir mengkaji Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan bagi menghasilkan satu strategi untuk melindungi keselamatan siber negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pelan jangka panjang negara selama lima tahun itu akan membabitkan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta.

“Strategi itu akan direalisasikan menerusi sumber manusia dan pembangunan infrastruktur yang akan memfokuskan kepada pembentukan Tenaga Kerja Keselamatan Siber Nasional.

“Ia juga akan memastikan penggunaan optimum sumber dan kepakaran sedia ada dalam keselamatan siber,” katanya dalam ucaptama merasmikan Persidangan Keselamatan Sumber, Bandaraya Pintar dan E-Kerajaan - Perkongsian Kepakaran Russia, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Persidangan dianjurkan ITRAMAS Corporation Sdn Bhd dan Association for the Export of Technological Sovereignty (ASSETS) dari Russia itu bertujuan mengadakan kerjasama erat antara Malaysia dan Russia dalam bidang keselamatan siber, bandaraya pintar dan e-kerajaan.

Yang turut hadir ialah Presiden ASSETS, Profesor Dr Andrey Bezrukov.

Wan Azizah berkata, adalah tidak keterlaluan lagi untuk mengatakan bahawa serangan siber berpotensi menjejaskan fungsi sesebuah perniagaan atau melumpuhkan infrastruktur yang akan membahayakan pemiliknya.

Katanya, kesan terhadap kegagalan atau gangguan infrastruktur penting juga boleh mendatangkan implikasi buruk kepada sesebuah perkhidmatan.

“Kerajaan akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai entiti dalam sektor swasta bertujuan menggalakkan pemahaman terhadap risiko keselamatan siber, menggalakkan lebih banyak keputusan pengurusan risiko berinformasi dan menasihati pelabur dalam mengambil langkah keselamatan bersesuaian.

“Ini termasuk meningkatkan keupayaan untuk mengesan, bertindak balas dan mitigasi serangan siber terhadap organisasi di negara ini selain terus meningkatkan kesedaran keselamatan dan pendidikan siber terhadap rakyat,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan perancangan dan strategi berkesan, industri keselamatan siber akan berkembang dan makmur di Malaysia, menjadikan keselamatan siber satu vertikal ekonomi penting yang akan menyediakan lebih banyak peluang ke arah kemakmuran negara.

Berita Harian X