Khamis, 12 September 2019 | 5:28pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimba ilmu bersama dua pakar cilik iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Serena’s Secret & Accessibility Advocate, Serena Zara Taufiq dan pencipta robotik, Chloe Soh Ke Er. - Foto ihsan Microsoft APAC

Pakar cilik ajar Dr Mahathir `bahasa komputer'

KUALA LUMPUR: Di sebaliknya usianya melangkau sembilan dekad, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkannya bukan satu kekangan untuk generasinya mendalami bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), termasuk ilmu menghasilkan kod bagi tujuan pengkomputeran.

Keterbukaan Perdana Menteri dalam mengutamakan soal pendidikan tanpa mengira usia itu jelas dicerminkan ketika menimba ilmu bersama dua pakar cilik iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Serena’s Secret & Accessibility Advocate, Serena Zara Taufiq dan pencipta robotik, Chloe Soh Ke Er, masing-masing berusia 10 tahun.

Menggunakan peranti tablet, Dr Mahathir dilihat begitu tekun ketika meluangkan masa mempelajari ‘bahasa komputer’ dengan memasukkan arahan digital tertentu bagi melengkapkan aturan program perisian yang sedang dibangunkan.

Menerusi klip sama terbitan Microsoft, Perdana Menteri turut menitipkan pesanan bahawa kemahiran digital dan pembelajaran STEM tidak sekadar terhad dalam persekitaran bilik darjah di sekolah semata-mata.

“Mengekod ialah bahasa masa depan dan pembelajaran sepanjang hayat amat kritikal bagi memastikan kita kekal relevan, selari usaha transformasi dilaksanakan bagi merentasi had geografi atau industri seperti penjagaan kesihatan, pengeluaran serta pengangkutan.

“Dunia digital kini memerlukan kita memenuhi tanggungjawab untuk menimba ilmu dan bekerja bagi memastikan Malaysia muncul sebagai negara digital, sekali gus menjadikan ia teras transformasi serta identiti,” katanya.

Beliau berkata, seiring inisiatif negara memacu transformasi digital, akses kepada pembelajaran STEM perlu diberikan kepada segenap lapisan masyarakat agar berupaya membangunkan golongan berkemahiran tinggi pada masa depan.

“Kita semua boleh menghasilkan kod walaupun berusia 93 tahun untuk digunakan bagi merintis kemajuan negara,” katanya.

Selesai sesi pembelajaran, Dr Mahathir ditanya beberapa soalan termasuk nasihat apabila menyandang tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dan impiannya terhadap persekitaran pendidikan negara menjelang 2030.

Katanya, tanggungjawab Perdana Menteri menuntut seseorang untuk tidak meletakkan soal kepentingan peribadi melangkaui manfaat negara supaya kebajikan rakyat sentiasa terjamin dan terbela.

“Bila menjadi Perdana Menteri, anda kena selalu prihatin dengan nasib rakyat dan negara, bukan hanya fikir kepentingan diri sendiri,” katanya ketika ditanya oleh Serena yang dilihat tekun mendengar amanat berkenaan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Ke Er mengenai impian persekitaran pembelajaran masa depan, Dr Mahathir berkata, kedua-dua saintis cilik berkenaan pasti sudah menginjak usia dewasa dan boleh menyumbang kemahiran serta pengetahuan dimiliki mereka terhadap kemajuan negara.

Berita Harian X