Khamis, 12 September 2019 | 6:30pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) bergambar bersama orang ramai pada Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Aplikasi MyWC di kementeriannya di Putrajaya, hari ini. - Foto Samadi Ahmad

Aplikasi MyWc bantu orang ramai cari tandas awam

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih MyWc (My Water Closet) bagi membantu orang ramai mencari tandas awam berpandukan fungsi sistem penentu kedudukan global (GPS) dan berdasarkan jarak dari pengguna.

MyWc yang dibangunkan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut membantu pengguna mendapatkan maklumat tandas berdasarkan penarafan bintang, tandas berbayar dan tidak berbayar, keperluan orang kurang upaya (OKU) dan bilik tukar lampin bayi yang disediakan di medan selera serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata sebanyak 2,625 tandas seluruh negara dimuat naik ke aplikasi itu yang diperoleh daripada pangkalan data asas Daftar Tandas Awam Seluruh Malaysia (DATAM).

Katanya, ia merangkumi pusat beli-belah, perhentian awam, sekolah, restoran, stesen minyak dan kawasan pelancongan,.

“Statistik tahun lalu menunjukkan 98 peratus tandas awam secara keseluruhannya mencapai penarafan tiga bintang dan ke atas, iaitu peningkatan 30 peratus berbanding tahun sebelum ini.

“Semua PBT disaran melaksanakan penarafan bintang tandas awam di kawasan masing masing bagi memastikan sentiasa bersih dan selamat digunakan, sejajar teguran Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menyifatkan tandas awam di negara ini sebagai ‘memalukan’,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Aplikasi MyWC di kementeriannya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KPKT, Dr Mary Wong Lai Lin.

Sementara itu, Zuraida berkata, KPKT sedang menunggu laporan kewangan mengenai hala tuju Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

Beliau berkata, laporan itu terbahagi kepada dua iaitu laporan kewangan dan pengurusan yang diterima dan diselaraskan dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Katanya, anggota perbadanan PR1MA menjalankan tugas hampir setahun mengkaji dan meneliti semua projek PR1MA untuk dikategorikan mengikut keutamaan iaitu kurang risiko kepada berisiko tinggi.

“Setakat ini kita masih menunggu laporan kewangan itu dan selepas itu, barulah kita boleh bentang kepada Kabinet pada bila-bila masa,” katanya

Sebanyak 94 projek PR1MA dibangunkan membabitkan 94,000 unit kediaman di seluruh negara.

Ia menerima 14,000 tempahan selepas Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilanjutkan sehingga hujung tahun ini, sekali gus meningkatkan penjualan perumahan PR1MA yang sebelum ini tidak terjual.

Berita Harian X