Khamis, 12 September 2019 | 6:32pm
FOTO hiasan.

Masyarakat perlu belajar kenali tanda orang mahu bunuh diri

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye mahu masyarakat di negara ini belajar mengenali tanda-tanda orang yang mahu melakukan perbuatan membunuh diri.

Beliau berkata, perbuatan membunuh diri boleh dicegah jika semua pihak mengambil peranan untuk menghalang ianya berlaku memandangkan mereka yang mahu berbuat demikian akan memberi tanda-tanda yang boleh dikenal pasti.

”Orang yang merasa bunuh diri biasanya berasa sangat tidak percaya dan tidak berdaya. Kemerosotan dan tiada daya menyebabkan mereka terpencil seolah-olah ia kelihatan tiada siapa yang peduli.

“Kita boleh membantu mengubah mereka dengan menawarkan penjagaan dan empati kita kerana ia sudah cukup untuk mengurangkan rasa pengasingan diri. Lengkapkan diri kita dengan kemahiran mendengar dan menawarkan sokongan kepada mereka yang mengalami kesusahan.

“Kadang-kadang kita merasa tidak berdaya diri, tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan atau bagaimana untuk membantu tetapi dengan berada di sisi orang itu ia sudah menjadi permulaan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, seramai 80 peratus orang yang mahu mengakhiri hidup sendiri memberi tanda-tanda amaran dan ia tidak dibuat mendapatkan perhatian sebaliknya mahukan bantuan.

“Apa yang boleh menyebabkan seseorang membunuh diri? Ia biasanya bukan sahaja satu faktor, tetapi gabungan banyak perkara kerana seseorang yang mengakhiri hidupnya, tidak semestinya mahu mengakhiri hidup tetapi kerana kesakitan emosi yang tidak dapat ditanggung dan mahu ia ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat bantuan yang tersedia di dalam masyarakat untuk membantu, contohnya di Klinik Kesihatan atau Pusat MENTARI.

“Jika anda bermasalah secara emosional, mungkin berguna untuk dapat berbicara dengan seseorang mengenainya. Cari seseorang yang anda percayai dan seseorang yang anda rasa selesa.

“Sekiranya anda merasa sukar untuk bercakap dengan orang yang anda kenali, selalu ada talian bantuan seperti Befrienders 24 jam di mana anda boleh bercakap tanpa takut dihakimi dan kekal tanpa nama. Terdapat sembilan pusat Befrienders di Malaysia dan semua panggilan adalah percuma,” katanya.

Berita Harian X