Khamis, 12 September 2019 | 7:14pm
NAIB Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Naib Canselor USM dianugerah Felo Kehormat Komanwel

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih penerima Felo Kehormat Commonwealth of Learning (COL), hari ini.

USM dalam kenyataannya berkata anugerah itu diberikan kepada Asma atas sumbangan besarnya dalam pembangunan bidang pendidikan di Malaysia.

“Dalam kenyataan surat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif COL Prof Asha S. Kanwar, ia menyebut peranan Asma dalam mempromosi akses pendidikan tinggi berkualiti khususnya kepada wanita telah menjadi sumber inspirasi utama kepada banyak pihak dalam komuniti Komanwel,” kata kenyataan itu.

Menurut USM, Asma menerima anugerah berprestij itu pagi ini bersempena ‘Ninth Pan-Commonwealth Forum on Open Learning (PCF9)’ di Edinburgh, Scotland yang dianjurkan dengan kerjasama Open University United Kingdom di Edinburgh, Scotland.

Anugerah COL diwujudkan bagi mengiktiraf individu terpilih yang telah memberi sumbangan signifikan dalam pertumbuhan dan pembangunan pembelajaran berasaskan teknologi media di peringkat negara, antarabangsa serta kemajuan pendidikan dalam Komanwel secara amnya.

COL yang berpangkalan di Kanada adalah sebuah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Commonwealth Heads of Government pada 1988. - BERNAMA

Berita Harian X