Khamis, 12 September 2019 | 8:00pm
KETUA Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan

PPIM akui ahli naungi warga Bangladesh

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengakui, lelaki bergelar Datuk yang dikatakan menaungi kumpulan warga Bangladesh dalam pencerobohan tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, adalah penasihat sebuah biro dalam persatuan itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, ketika dihubungi Berita Harian (BH) mengesahkan kedudukan lelaki terbabit dalam persatuan itu tetapi mendakwa pihaknya baru sahaja menerima maklumat mengenai pembabitannya dalam pencerobohan tanah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada lelaki itu menyalahgunakan jawatan dalam PPIM untuk kepentingan peribadi atau sebaliknya kerana masih menyiasat tetapi dimaklumkan Datuk itu sudah lebih 10 tahun terbabit dalam kebun sayur di Bukit Beruntung.

“Dia memang ada keupayaan untuk jadi penasihat (biro dalam PPIM). Mungkin dia buat (ceroboh tanah kerajaan) atas kapasiti peribadi dan itu pun kita tak boleh larang.

“Mengenai salahguna jawatan PPIM, kita pun tak tahu. Apabila timbul isu ini (didedahkan media) baharu kita tahu (ada ahli PPIM terbabit) tetapi jika dia didapati tak betul (terbabit dengan kegiatan itu) dia kena keluar (daripada PPIM) sebab kita tak mahu persatuan jadi huru-hara,” katanya.


KELIHATAN warga Bangladesh sedang bekerja di kebun haram di Bukit Beruntung dalam tinjauan BH.

Lelaki itu dikatakan bertindak mewakili kumpulan warga Bangladesh terbabit, dalam usaha mempertahankan pencerobohan berkenaan apabila Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor menuntut kawasan yang disewa ahli mereka secara sah daripada pemilik tanah berkenaan dikosongkan segera.

Susulan naungan diterima mereka, kumpulan warga Bangladesh terbabit yang turut menceroboh tanah milik Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bersebelahan kawasan persendirian itu, tetap berdegil dan terus bertahan meskipun notis pengosongan yang sudah dipasang oleh PTG di situ.

Nadzim berkata, pihaknya sudah memanggil lelaki berkenaan dan beberapa pihak yang terbabit dalam isu itu untuk pertemuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung pencerobohan terbabit hari ini.

“Apabila dapat maklumat sebenar, barulah kita buat keputusan mengenai tindakan bersesuaian yang akan diambil,” katanya sambil mendakwa lelaki itu adalah di antara ahli PPIM yang tidak aktif dalam biro berkenaan.

Nadzim berkata, sejak dua minggu lalu, PPIM melakukan penyusunan dan pelantikan semula jawatan bagi setiap biro dalam persatuan itu tetapi mendakwa langkah terbabit tiada kaitan dengan dakwaan pembabitan lelaki berkenaan dalam pencerobohan tanah.

“Kita sudah bubarkan semua biro dan akan buat pelantikan baharu. Perkara ini sudah lama dan surat mengenainya pun sudah dikeluarkan dua minggu lalu.

“Penyusunan semula biro ini tiada kena mengena dengan isu datuk ini, sebaliknya kita buat untuk memperbetulkan kelemahan,” katanya.

MB arah ambil tindakan terhadap penceroboh


AMIRUDIN Shari.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengarahkan Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) mengambil tindakan segera terhadap pencerobohan berterusan warga asing ke atas tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Amirudin berkata, kerjasama bersepadu dengan polis perlu digerakkan susulan kedegilan warga asing terbabit mengosongkan kawasan berkenaan, walaupun notis pengosongan sudah dikeluarkan PTG Hulu Selangor.

“Pejabat tanah dan polis akan mengambil tindakan. Kita ada banyak kes (seperti ini) sebelum ini dan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Perasmian Air Selangor Sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Bekalan Air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu pejabat Air Selangor di sini, semalam.

Kelmarin dan semalam, tinjauan BH mendapati warga asing terus menceroboh tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung seluas kira-kira 60 hektar di situ dengan tidak mengendahkan notis pengosongan yang dikeluarkan PTG Hulu Selangor.

Meskipun papan dengan notis pengosongan kawasan dipacak atas tanah yang diceroboh, pembangunan kebun sayur secara komersial masih dijalankan di situ tanpa ada tanda akan dihentikan penceroboh atau keluar dari situ.

Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah itu dikeluarkan PTG Hulu Selangor terhadap semua penceroboh terbabit mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(a), (b) dan (c) Kanun Tanah Negara 1963 sejak 29 Julai lalu, yang memberi tempoh selama 14 hari kepada penceroboh untuk meninggalkan kawasan berkenaan bersama semua peralatan dan kelengkapan yang dibawa ke situ selama ini.

BH Ahad dalam laporan eksklusif mendedahkan mengenai operasi kawasan pertanian komersial membabitkan penanaman sayur-sayuran dengan anggaran keluasan 60 hektar yang diusahakan kira-kira 80 warga asing secara haram.

Tinjauan mendapati tanah berbukit dan lembah di situ, diteroka pendatang asing dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran dan mereka dipercayai mengambil kesempatan meneroka tanah di situ berikutan kawasan berkenaan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya, kerana sebahagian tanah terbabit terletak di bawah laluan pencawang kabel elektrik berkuasa tinggi.

Berita Harian X