Jumaat, 13 September 2019 | 11:17am
KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Muez Abd Aziz berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Dewan Perniagaan Malaysia di Indonesia di Hotel Fairmont. - Foto Saifullizan Tamadi

Jenama francais Malaysia miliki potensi di Indonesia - KPDNHEP

JAKARTA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu Dewan Perniagaan Malaysia di Jakarta (MCJ) memainkan peranan membantu jenama francais negara terus bertambah di republik ini.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, berkata MCJ boleh menggunakan jaringan hubungan sedia ada bagi membantu mengenal pasti dan menarik pelabur Indonesia untuk melabur serta membeli perniagaan francais Malaysia.

“Ketika ini, sebanyak 29 jenama francais Malaysia sudah berjaya berkembang di Indonesia, dan kita mahu ia terus bertambah memandangkan jenama francais Malaysia jelas memiliki potensi di sini.

“Hingga kini, ada 66 jenama francais Malaysia yang sudah melebarkan sayap di 65 negara, membabitkan 4,194 premis perniagaan.

“Kerjasama MCJ diperlukan, khususnya dalam memberi panduan kepada peniaga di Malaysia, bagi membantu lebih banyak jenama francais Malaysia menembusi pasaran Indonesia,” katanya pada Majlis Makan Malam KPDNHEP bersama MCJ, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar, dan Presiden MCJ, Jade Hwang.

Muez ke sini bagi mempromosikan jenama francais Malaysia dan menjalinkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara pada Ekspo Francais dan Pelesenan Indonesia (FLEI) 2019 yang bermula hari ini hingga Ahad.

Selain KPDNHEP serta beberapa agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), wakil Persatuan Francais Malaysia dan 11 francaisor Malaysia turut serta.

Sementara itu, Hwang menyambut baik saranan berkenaan dan bersedia memastikan MCJ memainkan peranan sebagai platform kepada komuniti peniaga Malaysia di Indonesia serta penghubung antara kerajaan kedua-dua negara.

“MCJ boleh menjadi platform untuk berkongsi maklumat antara ahlinya dan menggalakkan perbincangan, terutama bagi ahli perniagaan Malaysia yang baru mengembangkan perniagaan di sini.

“Saya berharap perwakilan yang hadir pada majlis menggunakan kesempatan ini untuk meluaskan jaringan dan mendapatkan maklumat serta wawasan bagi mengembangkan perniagaan di Indonesia,” katanya.

Berita Harian X