Jumaat, 13 September 2019 | 3:57pm
Muhammad Ikhsan dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok, memerlukan kira-kira RM30,000 bagi membiayai kos pembedahan. - Ihsan keluarga
Muhammad Ikhsan dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok, memerlukan kira-kira RM30,000 bagi membiayai kos pembedahan. - Ihsan keluarga

Bayi lahir tanpa telinga, perlu RM30,000 untuk jalani pembedahan

TANAH MERAH: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok, memerlukan kira-kira RM30,000 bagi membiayai kos pembedahan yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Muhammad Ikhsan Abdul Hadi yang akan menjalani pembedahan menebuk lubang telinga, turut mengalami jangkitan paru-paru sejak lahir.

Ibunya, Siti Hafsah Che Mah, 40, berkata anaknya itu tidak boleh mendengar kerana tiada lubang telinga serta tidak boleh bergerak akibat tulang belakang bengkok, sekali gus menyebabkan tumbesaran terbantut.

“Sejak lahir, hospital menjadi rumah kedua kami kerana terpaksa berulang alik berikutan Muhammad Ikhsan sering diserang jangkitan paru-paru. Malah dia pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu selama sebulan.

“Berat badannya hanya dua kilogram meskipun sudah usia sembilan bulan kerana terpaksa bergantung kepada susu khas yang diberikan melalui tiub,” katanya.

Siti Hafsah kini kebingungan untuk mencari wang bagi membiayai kos pembedahan anaknya itu.

“Mana saya nak cari wang sekurang-kurangnya RM30,000 untuk bayar kos pembedahan ini.

“Saya memang tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana sudah dua bulan tidak bekerja sebagai peniaga barang kosmetik, manakala suami pula bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Pasangan itu juga mempunyai dua anak berusia 15 dan 17 tahun yang masih bersekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun CIMB bernombor 7066347938 atas nama Siti Hafsah Che Mah.

Berita Harian X