Jumaat, 13 September 2019 | 4:56pm
Kompleks Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako terbiar dan gagal menarik pelanggan selepas lebih setahun beroperasi. - NSTP/Mohd Roji Kawi
Kompleks Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako terbiar dan gagal menarik pelanggan selepas lebih setahun beroperasi. - NSTP/Mohd Roji Kawi

Elakkan Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako jadi projek gajah putih

SAMARAHAN: Pelabuhan Perikanan Tanjung Bako, di sini, yang dirancang menjadi pelabuhan perikanan terbesar Asia Tenggara, berisiko menjadi projek ‘gajah putih’ apabila terus lesu dan gagal menarik pelanggan walaupun sudah lebih setahun beroperasi.

Walaupun dilengkapi pelbagai kemudahan canggih, kompleks pelabuhan itu yang dibangunkan dengan kos RM247.8 juta, jarang disinggahi bot nelayan, sekali gus dikhuatiri terbiar jika tiada usaha diambil bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Mengikut perancangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), pelabuhan itu disasar menjadi pusat pendaratan ikan terbesar di rantau ini kerana lengkap segala kemudahan diperlukan dalam sektor perikanan.

Ia juga dicanang bakal menjadikan Tanjong Bako, kawasan terpencil di antara Kuching dan Kota Samarahan sebagai bandar perikanan dilengkapi infrastruktur berteknologi tinggi seperti Kaimsan di Labuan dan Kuantan di Pahang.

Kompleks itu antara lain dilengkapi jeti untuk bot kecil, bot tradisional dan bagi mengisi minyak selain kren pemunggahan ikan, ruang pembaikan dan penyimpanan pukat, stor penyimpanan kotak ikan serta pejabat untuk peniaga.

Yang turut disediakan, bilik sejuk menyimpan hasil tangkapan, bilik penyimpanan blok ais, blast freezer, bilik ice flake dan ruang kualiti yang mematuhi piawaian eksport Kesatuan Eropah (EU).

Tinjauan BH dari luar kawasan berpagar antara lain mendapati pasar nelayan dibuka Mac 2018 khusus untuk nelayan dari kampung sekitar menjual hasil tangkapan, terbiar begitu sahaja selepas tiga minggu beroperasi kerana dikatakan tidak mendapat sambutan.

Keadaan pasar nelayan yang sunyi dan tidak beroperasi. - NSTP/Mohd Roji Kawi
Keadaan pasar nelayan yang sunyi dan tidak beroperasi. - NSTP/Mohd Roji Kawi

Lokasi kompleks yang jauh dari bandar mungkin antara faktor pasar terbabit tidak mampu menarik pelanggan walaupun peniaga menawarkan ikan segar yang baru didaratkan.

BH juga membuat tinjauan di dalam kawasan pelabuhan, termasuk jetinya yang serba canggih, namun dihalang pengawal keselamatan yang memaklumkan ia kawasan larangan untuk orang awam, kecuali pemilik bot atau lori mengangkut hasil tangkapan nelayan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sri Muara, Jam Hajimi, mengakui banyak kemudahan disediakan di pelabuhan berkenaan untuk manfaat nelayan, khususnya nelayan laut dalam untuk memajukan lagi industri perikanan negeri dan negara.

Namun ketika ini, katanya, nelayan pantai yang menggunakan bot kecil memilih jeti lain terutama di Muara Tebas untuk mendaratkan hasil tangkapan yang tidak sebanyak diperoleh nelayan laut dalam dengan lesen vesel Zon C dan Zon C2.

Jam berkata, antara punca utama pelabuhan canggih itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana tiada kilang ais disediakan, menyebabkan ramai pemilik bot nelayan laut dalam ‘tawar hati’ menggunakan kemudahan di situ dan sering membangkitkan masalah itu.

“Bot nelayan laut dalam hanya singgah memunggah hasil tangkapan, kemudian terus menghantarnya ke lokasi lain. Saya percaya jika kilang ais dibina dan beroperasi sepenuhnya, pelabuhan itu pasti jadi tumpuan lebih banyak bot nelayan laut dalam.

“Nelayan laut dalam perlukan bekalan ais yang banyak setiap kali pelayaran kerana biasanya berada di laut selama dua minggu, begitu juga keperluan ais untuk menyimpan hasil tangkapan yang didaratkan untuk disimpan di pelabuhan,” katanya.

Beliau berkata, memang ada cadangan membina kilang ais dan tapaknya juga ada di luar kompleks pelabuhan itu, namun mereka tidak tahu bila projek itu yang dicadang dibangunkan Persatuan Nelayan Sarawak (PANESA), akan menjadi kenyataan.

“PANESA perlu bincang dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). Jika keputusan positif, projek itu dijangka dilaksanakan secepat mungkin. Saya percaya jika ada kilang ais, pelabuhan ini pasti jadi tumpuan bot laut dalam,” katanya.

Berita Harian X