Jumaat, 13 September 2019 | 6:13pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (dua dari kanan) melawat gerai pameran pada majlis perasmian Asean Lifestyle Week (ALW) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dianjurkan Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Negara harus bersedia dengan inovasi

KUALA LUMPUR: Malaysia harus bersikap terbuka terhadap sebarang perkembangan inovasi di negara ini sebagai persediaan menghadapi perubahan pada masa depan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, sudah tiba masa rakyat menghargai sebarang aspek inovasi walaupun ia membabitkan sudut kecil, tetapi ia boleh memberi kesan kepada negara jika dikembangkan.

“Anda mungkin ketawa mengenai kereta terbang sekarang, namun ia satu inovasi yang akan direalisasikan kelak, malah PROTON (PROTON Holdings Bhd) juga sudah membeli syarikat di Jerman untuk projek kereta terbang.

“Jadi, kita harus bersedia untuk inovasi, ia akan berkembang secara berperingkat, walaupun ia kecil namun harus dibawa ke peringkat seterusnya, ” katanya selepas merasmikan Asean Lifestyle Week (ALW) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dianjurkan Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG), di sini, hari ini.

ALW 2019 kali kedua dianjurkan ini membabitkan hampir 90 pempamer daripada bidang perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang mempromosikan sektor gaya hidup.

Program berlangsung semalam hingga Ahad ini turut disertai 20 peratus pempamer antarabangsa dan membabitkan dialog ASEAN mengenai topik ‘Praktik dan Peluang Perniagaan dalam Matlamat Mapan’.

Sementara itu, Pengerusi PENYAYANG, Nori Tun Abdullah, berkata melalui dialog dianjurkan pada ALW itu, ia dijangka membincangkan bagaimana perniagaan di Asia Tenggara memberi kesan kepada Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke dalam perniagaan mereka.

“Dalam konteks ini, matlamatnya adalah untuk menggalakkan kesalinghubungan perniagaan dalam kalangan pemain peranan di rantau ini sambil memperluaskan peluang perniagaan baharu di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, ALW 2019 juga dibahagi kepada segmen pelabur, syarikat insurans, bank dan syarikat logistik serta segmen padanan perniagaan diselaraskan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia yang akan membawa pembeli berpotensi dan rakan niaga dari ASEAN.

Berita Harian X