Sabtu, 14 September 2019 | 3:09pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Indonesia berkuasa penuh atasi kebakaran hutan

PUTRAJAYA: Indonesia mempunyai kuasa penuh untuk menguatkuasakan undang-undang di negara mereka, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau menjelaskan justeru negara berkenaan berhak menyiasat dan mengambil tindakan kepada sesiapa saja yang terbukti melanggar undang-undang dan berbuat sesuatu yang tidak kena di negara itu termasuk menyebabkan kebakaran hutan.

Katanya, ASEAN belum mempunyai sebarang akta berkaitan jerebu rentas sempadan justeru segala penguatkuasaan undang-undang perlu berdasarkan kepada negara berkenaan.

“Berdasarkan laporan yang saya baca, ada banyak lagi syarikat iaitu kira-kira 30 syarikat termasuk dari negara berkenaan (yang didakwa ada kaitan dengan kebakaran hutan di Indonesia).

“Justeru, kita percaya, kerajaan Indonesia perlu buat segalanya yang perlu untuk menyiasat dan mengambil tindakan kepada sesiapa saja yang terbukti melanggar undang-undang dan berbuat sesuatu yang tidak kena,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim menyatakan kebimbangan mengenai penyitaan tanah milik anak syarikat kepada empat syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia, yang didakwa sebagai punca kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di rantau ini.

Empat syarikat itu ialah IOI Corporation, Sime Darby Plantation Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Kuala Lumpur Kepong Bhd berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan terhadap kebakaran hutan di tanah milik anak syarikatnya, PT Adei Plantation and Industry (PT Adei).

Dalam pada itu, Bee Yin berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi sedang bersiap siaga untuk melaksanakan pembenihan awan.

“Apabila sesuai kita akan buat pembenihan awan tetapi ia hanya bersifat sementara saja. Apa yang paling penting ada memadam kebakaran di sana (Indonesia).

“Jika pihak kita dapat masuk, kita perlu padamkan api secepat mungkin. Itu adalah keutamaan sekarang untuk mengatasi masalah jerebu ini.

“Buat masa ini, Indonesia masih belum meminta sebarang bantuan dari kita, mereka mempunyai kuasa penuh untuk kuatkuasa undang-undang di negara mereka dan mereka juga mempunyai kuasa penuh untuk memadam kebakaran di negara itu.

“Oleh itu, kita sudah menyampaikan mesej bahawa akan menyokong mereka dalam apa juga cara yang mungkin mereka lihat perlu dan kita bersedia sekiranya mereka memerlukan,” katanya.

Berita Harian X