Sabtu, 14 September 2019 | 3:35pm
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Undang-undang lindungi penderma Food Bank Malaysia

JAKARTA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan, bagi melindungi penderma, penaja dan pihak berkaitan program Food Bank Malaysia daripada tindakan undang-undang.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz, berkata menerusi RUU itu, penerima sumbangan Food Bank Malaysia tidak boleh mengambil tindakan undang-undang kepada penderma jika berlaku ‘kecacatan’ pada makanan.

Untuk dilindungi undang-undang itu, katanya, penderma perlu mematuhi beberapa peraturan yang akan digariskan secara terperinci, khususnya membabitkan penjagaan kebersihan dan keselamatan makanan yang disumbangkan.

“RUU ini digubal kerana kita mahu menggalakkan lebih ramai penderma menyumbang kepada program Food Bank Malaysia, sekali gus memastikan kelangsungan bantuan makanan kepada golongan B40.

“Penderma perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang akan digariskan selepas RUU ini diluluskan di Parlimen, khususnya membabitkan kebersihan dan tarikh luput makanan,” katanya kepada BH ketika ditemui di sini, hari ini.

Ogos lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kerajaan bercadang mewujudkan akta khas bagi melindungi penderma program Food Bank Malaysia.

Pada Mac lalu, Kementerian Kewangan meluluskan dana RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk menyediakan 14 lori dilengkapi pendingin.

KPDNHEP diberi tanggungjawab mengedarkan makanan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk pelajar universiti awam (UA).

Berita Harian X