Sabtu, 14 September 2019 | 6:36pm
Muez (belakang, lima dari kiri) diiringi M Hendro (tiga kiri belakang) bersama murid SDN Gandaria Utara 11 pada lawatan operasi FOI. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Kaji perluas bantuan Food Bank kepada wanita mengandung, ibu menyusu

JAKARTA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji memperluas program Food Bank Malaysia kepada golongan wanita mengandung, ibu menyusu dan kanak-kanak yang kekurangan nutrisi.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, berkata idea itu tercetus selepas pihaknya melihat sendiri kesan dan impak program bantuan dijalankan oleh Foodbank of Indonesia (FOI) kepada golongan sasar berkenaan.

“Kita akan sentiasa menambah baik program Food Bank Malaysia yang diilhamkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, antaranya melihat keperluan memperluas kumpulan sasar seperti dilakukan FOI.

“FOI antaranya mengadakan program Sayap Dari Ibu yang bagi menyantuni golongan wanita mengandung, ibu menyusu dan kanak-kanak yang kekurangan nutrisi akibat kemiskinan hidup.

“Menariknya di Indonesia, kerajaan mereka mewajibkan syarikat korporat menyumbangkan dua peratus daripada keuntungan kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti yang dilaksanakan FOI,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Muez (kiri) diiringi M Hendro (dua dari kiri) ketika lawatan operasi FOI, di Jakarta. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Terdahulu, Muez bersama pegawai KPDNHEP dan agensinya meninjau operasi FOI menyediakan sarapan kepada pelajar Sekolah Dasar Negeri (SDN) Gandaria Utara 11 di sini, serta makanan kepada warga emas di sekitar kawasan itu.

Muez berkata, operasi FOI diketuai pengasasnya, M Hendro Utomo, wajar menjadi penanda aras kepada pelaksanaan program Food Bank Malaysia, berdasarkan kesungguhan dan kejayaan mereka menyantuni golongan kurang bernasib baik.

“Walaupun FOI hanya badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak tanpa pembabitan Kerajaan Indonesia, tapi mereka berjaya memastikan bantuan berterusan di hampir seluruh republik ini menerusi operasi yang sangat sistematik.

“Kejayaan mereka juga adalah hasil kesungguhan sukarelawan FOI yang sanggup membanting tulang walaupun tidak menerima sebarang bayaran, dan semangat ini wajar dijadikan contoh kepada negara kita,” katanya.

Sementara itu, M Hendro berkata, FOI sudah menyantuni 11,503 kanak-kanak miskin yang kekurangan nutrisi secara konsisten sejak ia ditubuhkan pada 21 Mei 2015, dengan 150 daripada mereka menghidap HIV AIDS.

Katanya, dengan bantuan 371 sukarelawan yang berkhidmat secara percuma, FOI turut berjaya membantu 1,389 warga emas di 31 kawasan seperti Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Jakarta, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Timur.

“Bekalan makanan bukan isu di Indonesia, sebaliknya pembaziran apabila kira-kira 300 kilogram makanan dibazirkan seorang individu setiap tahun.

“Jadi, untuk memastikan mereka yang kurang bernasib baik mendapat akses makanan berlebihan itu, FOI menjalin kolaborasi antara kerajaan, syarikat dan komuniti.

“FOI menggerakkan beberapa program menyantuni pelbagai golongan sasar untuk ‘memerdekakan Indonesia’. Bagi saya, merdeka itu adalah bila seluruh rakyat memiliki akses makanan,” katanya.

Berita Harian X