Sabtu, 14 September 2019 | 7:36pm
Pekan Tangkak mengalami jerebu ketika tinjauan hari ini. IPU yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my menunjukkan bacaan 208 iaitu paras sangat tidak sihat ketika gambar ini dirakam pada jam 5 petang tadi. - Foto BERNAMA
Seorang pemancing memakai topeng mulut berlatarbelakangkan Jambatan Kedua Muar berikutan keadaan berjerebu yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat pada kadar 211 di Tanjung Agas, petang ini. - NSTP/Adi Safri

Jerebu: 211 sekolah di Muar, Tangkak di tutup esok

JOHOR BAHRU: Sebanyak 129 sekolah di Muar dan 82 sekolah di Tangkak akan ditutup esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua daerah itu mencecah 208 sehingga jam 5 petang tadi.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, berkata arahan penutupan sesi persekolahan itu adalah berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan dan garis panduan menangani jerebu kebangsaan serta atas nasihat dan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta Pejabat Daerah Muar dan Tangkak.

Katanya, Surat Siaran Kementerian Pendidikan juga sudah menyatakan jika bacaan IPU melebihi 200, maka semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta.

“Namun begitu, Pengetua dan Guru Besar serta guru, akan hadir bertugas di sekolah seperti biasa dan membuat tugasan sewajarnya, selaras dengan Surat Siaran KPM Bil 8/2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.

“Pemakluman kepada semua sekolah terbabit sudah dibuat melalui Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak dan Muar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata, status penutupan sekolah itu juga akan diputuskan berdasarkan pemantauan kualiti udara pada setiap masa untuk tindakan susulan jabatan ini dan sekolah di dua daerah berkenaan.

“Pemakluman akan dibuat kepada pihak yang terbabit berdasarkan status kualiti udara berkenaan,” katanya.

Azman berkata daripada 129 sekolah di Muar, 104 daripadanya adalah sekolah rendah membabitkan 22,309 murid, manakala 25 lagi sekolah menengah dengan jumlah 19,056 pelajar.

“Tangkak pula membabitkan 66 sekolah rendah dengan 11,986 murid, manakala 16 lagi adalah sekolah menengah dengan jumlah pelajar seramai 10,658,” katanya.

Tangkak menjadi satu-satunya daerah di negeri ini yang mencatatkan IPU tertinggi iaitu dalam kategori sangat tidak sihat dengan bacaan 211 pada jam 1 tengah hari tadi.

Berita Harian X